Anda di sini

25 direman SPRM terlibat kes pemalsuan dokumen

Advertisement
SEBAHAGIAN tahanan reman diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke mahkamah berhubung siasatan pemalsuan dokumen. Kes mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik.
SEBAHAGIAN tahanan reman diiringi pegawai SPRM ketika dibawa ke mahkamah berhubung siasatan pemalsuan dokumen. Kes mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik.

KOTA KINABALU: Seramai 25 orang merangkumi pemilik dan pengurus syarikat ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes pemalsuan dokumen bank.

Kesemua yang ditahan membabitkan 13 orang di Kota Kinabalu, Kota Belud, Kuala Penyu, Beaufort dan Ranau; lima di Tawau; empat di Keningau; dua di Lahad Datu; dan satu di Sandakan.

Dalam kes di Kota Kinabalu, 13 pengurus syarikat kontraktor direman oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen palsu.

Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim membuat keputusan itu terhadap mereka yang berusia 30 hingga 60 tahun, setelah membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat SPRM Mohd Faliq Basiruddin.

Difahamkan, kesemua individu terbabit menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Tahanan terdiri 10 lelaki dan tiga wanita ditangkap pada Isnin di sekitar Kota Kinabalu, Kota Belud, Kuala Penyu, Beaufort, dan Ranau.

Kesemua individu dipercayai mengemukakan dokumen palsu sejak tahun 2016 sehingga kini dan memperoleh tender bernilai ratusan hingga jutaan ringgit.

Mahkamah kemudian memutuskan tahanan lelaki direman selama lima hari di penjara pejabat SPRM, manakala wanita direman di pusat penjara berpusat Kota Kinabalu selama tiga hari.

Di Tawau, SPRM menahan reman lima suspek yang disyaki mengemukakan penyata bank palsu untuk mendapatkan tender keseluruhan bernilai kira-kira RM8.8 juta.

Kesemua suspek terbabit terdiri daripada pemilik dan pengurus syarikat perbekalan makanan bermasak sekolah menengah asrama di sekitar daerah ini, ditahan reman sehingga 21 Januari.

Tempoh tujuh hari tahanan reman itu diputuskan Majistret Herlina Muse di Mahkamah Tawau pada Selasa, terhadap kesemua suspek - tiga wanita dan dua lelaki berumur 35-65 tahun.

Kesemua mereka hadir di mahkamah dengan keadaan tangan bergari sambil diiringi oleh pegawai-pegawai SPRM yang diketuai Pegawai Penyiasat SPRM Tawau Johari Lahat.

Kelima-lima suspek berkenaan disiasat dalam empat kes berasingan membabitkan empat syarikat terlibat untuk kontrak dua tahun antara 2017 dan 2018.

Terdahulu, kesemua suspek terbabit ditahan di lokasi berasingan di sekitar Tawau, termasuk di Pejabat SPRM Tawau antara jam 1.20 petang dan 9 malam Isnin.

Di Lahad Datu, SPRM menahan reman selama tujuh hari terhadap dua pengurus syarikat kontaktor kerana disyaki mengemukakan dokumen kewangan bank palsu bernilai hampir RM8 juta pada 2016.

Ia berkaitan kontrak membekal makanan JPNS masing-masing untuk sebuah sekolah asrama harian dan kolej di Lahad Datu.

Majistret Ryan Sagirann Rayner Jr memerintahkan tahanan reman itu selepas menerima permohonan daripada Pegawai Penyiasat SPRM Solehuddin Suhaimi di Mahkamah Majistret Lahad Datu pada Selasa.

Suspek, seorang lelaki dan wanita telah ditangkap pada Isnin di sekitar Lahad Datu dan Semporna diperintahkan menjalani tahanan reman itu bermula 15 hingga 21 Januari 2019.

Kedua-dua suspek difahamkan pemilik syarikat pembekalan makanan bermasak.

Suspek kelihatan hadir di perkarangan mahkamah jam 10 pagi dan keluar jam 10.45 pagi dengan tangan bergari diiringi pegawai SPRM.

Turut direman empat orang di Mahkamah Majistret Keningau.

  • oleh
  • Advertisement