Anda di sini

Suspek masih berada di Sandakan, operasi giat dijalankan

Advertisement
Jusman Amir
Jusman Amir

SANDAKAN: Polis percaya Jusman Amir, 29, yang melarikan diri dari kawalan polis dengan membuka gari semasa proses memuatkan tahanan ke dalam trak polis untuk dibawa dari Mahkamah Sandakan ke Penjara Sibuga Sandakan pada petang Khamis lepas, masih berada di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata gerakan mengesan lelaki warga Indonesia terbabit masih giat dijalankan.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang ketika suspek berjaya membuka gari berantai yang dipasang di tangannya dan terus melarikan diri ke arah kawasan semak di Taman Khong Lok Batu 7, di sini.

“Suspek merupakan seorang tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran yang dibawa ke Mahkamah Majistret Sandakan untuk dituduh mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu dengan sengaja memasukkan dadah ke dalam tubuh badan,” katanya.

“Selepas sebutan kes, suspek telah diarahkan oleh mahkamah untuk ditahan di Penjara Sandakan mengikut Seksyen 259 Kanun Acara Jenayah sementara menunggu sebutan semula kes,” katanya.

Beliau berkata suspek berbangsa Bugis dan mempunyai tatoo di bahagian lengan tangan sebelah kiri.

“Suspek berbadan kurus, berkulit gelap dan mempunyai misai serta janggut pendek itu memakai sehelai baju hitam bertulis 'Sex Pistol' dan seluar pendek warna putih,” katanya.

Abdul Fuad meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek supaya segera menghubungi pihak polis di talian 089-212222.

Kes berkenaan kini di siasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement