Anda di sini

Semporna bakal bebas sampah menjelang 1 April

Advertisement
SHAFIE (tengah) ketika membuat tinjauan tahap kebersihan sekitar kawasan pekan Semporna.
SHAFIE (tengah) ketika membuat tinjauan tahap kebersihan sekitar kawasan pekan Semporna.

SEMPORNA: Kerajaan yakin sasaran untuk menjadikan Semporna sebagai daerah bebas sampah menjelang 1 April ini mampu dicapai.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, sasaran itu boleh dicapai dengan adanya pembabitan masyarakat dari semua peringkat.

"Saya yakin kalau apa yang dilakukan setakat ini membabitkan beberapa kawasan dan perubahan struktur, tindakan tegas dapat diambil dan disusun dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perjumpaan Anggota Perkhidmatan Awam dan Pemegang-Pemegang Adat Bersama Ketua Menteri, di sini pada Isnin.

Terdahulu, Shafie turut membuat tinjauan secara rawak bagi memantau tahap kebersihan di beberapa kawasan sekitar pekan Semporna.

Setakat ini jelasnya, masih banyak kerja yang perlu dilaksanakan dalam meningkatkan penyertaan rakyat untuk menjayakan Kempen Sabah Bebas Sampah, Semporna Bersih dan Indah.

Menurutnya, tempat-tempat yang menjadi sumber pengeluaran sampah terutamanya di kawasan kampung-kampung perlu dibersihkan.

"Kerjasama di semua peringkat amat diperlukan bukan hanya golongan dewasa malah turut libatkan kanak-kanak.

"Usaha ini perlu dibudayakan dan diteruskan bukan hanya dijalankan sekali sahaja supaya keadaan sentiasa bersih," katanya.

Selain itu, Shafie menganggap hukuman memakai vest 'Si Monyet' yang dikenakan kepada pesalah membuang sampah boleh diteruskan jika tindakan berkenaan berkesan.

Katanya, perubahan itu lebih penting kerana masyarakat perlu malu kalau kawasan kampung kotor dan bukannya malu kerana memakai vest sedemikian.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Semporna Bianus Kontong berkata, setakat ini seramai 48 individu sudah dikenakan hukuman atas kesalahan membuang sampah.

Menurutnya, jumlah berkenaan melibatkan 32 pesalah yang dikompaun termasuk dua pelancong asing dan 16 pesalah didenda untuk melakukan kerja amal membuang sampah.

  • oleh
  • Advertisement