Anda di sini

Penggabungan ILKKM Sandakan ke Kota Kinabalu akan diberi perhatian

Advertisement
STEPHEN mengadakan pertemuan dengan sebahagian pelajar ILKKM Sandakan.
STEPHEN mengadakan pertemuan dengan sebahagian pelajar ILKKM Sandakan.

SANDAKAN: Cadangan untuk menggabungkan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) Sandakan ke ILKKM Kota Kinabalu pada tahun 2021 adalah sesuatu yang menyedihkan bagi rakyat di daerah ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata, institut kejururawatan itu merupakan yang pertama ditubuhkan di Sabah dan kini mempunyai fasiliti yang canggih dan lengkap.

"Sudah berpuluh tahun kolej ini digunakan untuk memberi latihan kejururawatan. Saya tidak pasti kenapa ia akan dipindahkan. Tetapi, saya akan membawa perkara ini ke Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Mungkin ada alternatif lain yang boleh dibincangkan. Kita juga akan menghantar rayuan kepada kementerian ini," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan rasmi ke ILKKM Sandakan di sini pada Isnin.

Wong yang juga Ahli Parlimen Sandakan berpendapat institut yang dibina pada tahun 1965 itu perlu dikekalkan kerana nilai sejarahnya terutama bagi pelajar kejururawatan selain ia juga merupakan platform yang diperlukan untuk menaiktaraf latihan kakitangan perubatan.

"Saya akan membuat dan membentangkan satu usul ke Kabinet berkaitan perkara ini, mungkin dalam minggu depan. Sandakan sudah banyak berkorban, yang mana sebelum ini kita ada sebuah maktab perguruan namun telah dipindahkan. Saya fikir ILKKM Sandakan seharusnya dikekalkan di sini," katanya.

Ketika ini, ILKKM Sandakan menjalankan tiga jenis kursus kejururawatan iaitu Diploma Kejururawatan (Sistem Kredit), Kursus Pengkhusussan Perawatan Orthopedik (6 bulan) dan Kursus Lanjutan Kebidanan (Diploma Lanjutan).

Sementara itu, Pengarah ILKKM Sandakan Sia Seng Mui berkata tiada pengambilan pelajar akan dilakukan pada tahun ini selain tiga pengajar akan bersara dan beberapa pengajar lagi akan kembali ke jawatan yang asal.

Katanya, berikutan pemindahan itu, Kursus Kebidanan akan dipindahkan ke ILKKM Tawau manakala Kursus Orthopedik akan ke ILKKM Kota Kinabalu.

"Kita difahamkan pemindahakan ini adalah disebabkan penyusunan semula ILKKM yang mana daripada 33 institut sedia ada akan dijadikan kepada 14 buah sahaja," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement