Anda di sini

Palsukan dokumen kenderaan: Broker didenda RM4 juta dan penjara

Advertisement
__alt__

KOTA KINABALU: Seorang broker kereta dikenakan denda sejumlah RM4 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan memalsukan dokumen kenderaan sehingga mengakibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM776,400.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu terhadap Ezwan Shah Jaafar, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah semasa dua pertuduhan altenatif dibacakan terhadapnya.

Bagi kesalahan pertama, dia dipenjara enam bulan dan denda RM2.3 juta atau penjara enam bulan, manakala kesalahan kedua penjara enam bulan dan denda RM1.7 juta atau empat bulan penjara.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara enam bulan bagi kedua-dua pertuduhan berjalan serentak.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh pada 1 hingga 31 Ogos 2012 didakwa memperdayakan prinsipalnya iaitu GiatMara Sdn Bhd dengan mewujudkan empat dokumen mengandungi pernyataan palsu berkaitan nombor chasis kepada Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara Sdn Bhd Meriyam Abdul Majid.

Kesalahan didakwa dilakukan di Lot 10, tingkat 7, Wisma SESB Jalan Tunku Abdul Rahman, Karamunsing, di sini.

Manakala, pertuduhan kedua, pada 1 Jun hingga 31 Julai 2013 di lokasi sama, turut didakwa melakukan kesalahan dengan memberi tiga dokumen palsu terhadap Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara Sdn Bhd Mohamed Roseli Dol.

Untuk itu, dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta yang sama bagi kedua- dua pertuduhan.

Tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh Rebecca Tamin dan Razali Awang merayu hukuman terhadap anak guamnya diringankan memandangkan ia adalah kesalahan pertama tertuduh dan mempunyai tanggungan seorang isteri yang hanya seorang suri rumah.

Selain itu, tertuduh juga hanya memiliki enam orang anak dan salah seorang mengalami sindrom Autism, serta hanya memiliki pendapatan RM2,500 sebulan.

Ketika rayuan, tertuduh juga memohon supaya hukuman dikurangkan dan menyesali akan kesalahan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kembali.

Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya SPRM Awang Samsul Baharam Bongsu menegaskan hukuman setimpal harus dikenakan kepada tertuduh memandangkan ia kesalahan serius dan perlu menjadi pengajaran kepada orang awam yang lain.

  • oleh
  • Advertisement