
SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing dipenjara selama 15 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas kesalahan melupuskan harta curi.
Majistret Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu ke atas Jhon Ilahan, 38, selepas tertuduh mengaku melakukan perbuatan berkenaan bersama dua lagi rakannya yang masih bebas.
Berdasarkan fakta kes, pengadu membuat laporan polis selepas premisnya di Jalan Lintas, Sibuga Industrial Centre telah dipecah masuk pada 1 September tahun lepas.
Ekoran itu, pengadu mengalami kerugian lebih kurang RM4,000 selepas sembilan buah tangki berwarna biru dan hitam miliknya telah dicuri.
Tertuduh kemudian berjaya ditangkap sepasukan anggota polis di kawasan setinggan Kampung Melayu, Batu 8 di sini kira-kira jam 9.30 malam pada 6 September lepas, bersabit kes. Turut dirampas, tiga buah tangki air yang disimpan tertuduh di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan setinggan yang sama.
Hasil siasatan mendapati, tertuduh mengaku telah melupuskan harta curi dengan menjual tiga buah tangki air berwarna biru kepada penduduk kampung.
Atas kesalahan itu, Jhon didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga tempoh tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.
Dalam Mahkamah Majistret berasingan, seorang wanita warga asing dijatuhkan hukuman penjara selama satu hari dan denda RM5,000 atau dua bulan penjara kerana menjalankan kegiatan penjualan tambah nilai judi atas talian secara haram.
Azira Pattah, 22, juga dijatuhkan hukuman denda RM5,000 atau dua bulan penjara kerana memiliki sebuah mesin judi.
Majistret Sofia S Sawayan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku melakukan perbuatan berkenaan kira-kira jam 2.40 petang pada 29 November tahun lepas di sebuah rumah tidak bernombor, tingkat bawah, Blok B, Bandar Nam Tung.
Tertuduh ditangkap sepasukan anggota polis Cawangan D7, Jabatan Siasatan jenayah IPD Sandakan kerana dipercayai menjalankan kegiatan perjudian atas talian. Turut dirampas, sebuah telefon bimbit, pen serta wang tunai sebanyak RM100.
Atas kesalahan itu, Azira didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntuk hukuman denda tidak kurang dari RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 dan hendaklah juga dikenakan hukuman penjara tidak lebih tempoh tiga tahun. Selain itu, hendaklah dikenakan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Tan Hiap Wah.