Anda di sini

Kes letupan kedai emas segama: Dua ditangkap, tiga diburu

Advertisement
 Lani, Siti dan Aris yang masih bebas dan dikehendaki polis.
DARI kiri: Lani, Siti dan Aris yang masih bebas dan dikehendaki polis.

KOTA KINABALU: Kerjasama erat di antara orang awam dan polis akhirnya membawa kepada tangkapan dua suspek yang menjadi dalang sebenar kes letupan di sebuah kedai emas di kompleks beli-belah Segama pada 31 Disember lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, bagaimanapun tiga suspek lagi masih bebas yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita.

"Selepas siasatan terperinci dilakukan berdasarkan maklumat orang awam, polis berjaya menahan seorang warga negara asing berumur 22 tahun pada 2 Januari lepas yang menjadi perancang utama dalam kes rompakan itu.

"Soal siasat yang dilakukan terhadap suspek membawa kepada satu lagi tangkapan terhadap seorang warga tempatan berusia 64 tahun bekerja sebagai nelayan pada 5 Januari lalu. Suspek ini dikatakan sebagai pakar bom yang menghasilkan bahan letupan dalam rompakan ini," katanya ketika dalam sidang media di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, soal siasat ke atas suspek pertama turut mendedahkan terdapat tiga lagi rakan yang terlibat dalam kes rompakan itu.

Bagaimanapun katanya, nama sebenar tiga lagi suspek yang masih bebas tidak diketahui tetapi difahamkan hanya nama gelaran sahaja diperolehi iaitu Lani, Aris dan Siti.

"Kesemua suspek yang masih bebas ini berusia dalam lingkungan 30-an dan warganegara asing.

"Polis juga berjaya merampas sebahagian daripada bahan letupan iaitu residu-residu bahan letupan. Kedua-dua suspek masih dalam tahanan reman sehingga 17 Januari ini untuk disoal siasat," katanya.

Menurutnya, kelima-lima suspek dipercayai adalah rakan dan saling kenal mengenali. Kes rompakan sedemikian pernah berlaku dahulu di Putatan pada 2017, bagaimanapun kedua-dua kes itu tidak berkaitan.

Omar berkata, polis percaya bahawa kesemua suspek itu telah merancang rapi jenayah yang ingin dilakukan di daerah lain.

"Bagaimanapun, perancangan mereka sia-sia sahaja memandangkan gagal untuk mendapatkan emas daripada kedai terbabit," katanya.

Beliau juga menyeru kepada orang awam sekiranya mempunyai maklumat mengenai suspek-suspek yang masih bebas agar segera berhubung dengan pihak polis.

  • oleh
  • Advertisement