Anda di sini

Kes kemalangan di Beluran menurun

Advertisement
SHIVANANTHAN
SHIVANANTHAN

BELURAN: Sejumlah 257 kes kemalangan jalan raya berlaku di daerah ini sepanjang tahun lalu melibatkan 434 kenderaan.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Shivananthan A/L R Velauthan berkata jumlah itu menurun 9.5 peratus berbanding 284 kes kemalangan dalam tempoh yang sama sepanjang tahun 2017.

Katanya, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang tahun lalu juga menurun sebanyak 63 peratus daripada 22 kematian pada 2017 kepada hanya sembilan kematian pada tahun lalu.

“Jumlah cedera parah juga menurun 30 peratus daripada 13 kepada sembilan kes, manakala cedera ringan meningkat sedikit kepada 13 kes pada tahun lalu, berbanding 11 cedera ringan pada tahun 2017,” katanya kepada Utusan Borneo.

Menurutnya, dari segi jenis kenderaan yang terbabit dalam kemalangan yang berlaku tahun lalu, sejumlah 174 atau 40.1 peratus adalah kenderaan jenis pacuan empat roda (4WD), diikuti kereta (158), lori (72), motosikal (12) van (8), bas ekspres (6), lain-lain (3), pejalan kaki (1), manakala bas henti-henti dan bas mini tiada direkodkan terlibat dalam kemalangan 2018.

Shivananthan menjelaskan, secara keseluruhannya terdapat empat punca atau faktor kemalangan jalan raya di daerah Beluran iaitu faktor kecuaian, keadaan jalan raya, masalah teknikal dan lain-lain.

Bagaimanapun katanya, daripada 257 kes kemalangan yang berlaku sepanjang tahun lalu, 187 kes akibat kecuaian khasnya pemandu kenderaan, manakala 26 kes berlaku akibat faktor keadaan jalan raya yang rosak, berlubang-lubang dan sebagainya.

Beliau berkata, 16 kes kemalangan jalan raya yang direkodkan tahun lalu berpunca daripada faktor teknikal (14 kes) dan masing-masing satu kes disebabkan oleh masalah teknikal yang lain iaitu lampu kenderaan tidak menyala dan juga tayar pecah.

Lain-lain faktor yang menyumbang kepada statistik kemalangan jalan raya ialah 28 kes iaitu mengelak haiwan (12 kes) dan cuaca hujan (16 kes).

Sementara, statistik kemalangan mengikut jenis jalan bagi tempoh sepanjang tahun lalu (2018) menunjukkan 72 peratus atau 185 daripada 257 kes berlaku di sepanjang jalan Kilometer 1 hingga Kilometer 126 Jalan Beluran-Telupid, Jalan Nangoh-Paitan (35), jalan ladang (18), Jalan Telupid-Tongod (15) dan Jalan Simpang Rampek-Kuala Sapi (4 kes).

Sehubungan itu, beliau menasihati semua pengguna jalan raya khasnya para pemandu atau pejalan kaki agar sentiasa mematuhi peraturan, berhati-hati dan berhemah ketika memandu, selain memastikan kenderaan dalam keadaan baik demi mengelakkan kemalangan.

Katanya, terdapat juga banyak kes kemalangan berlaku disebabkan pemandu cuba mengelak jalan yang berlubang-lubang atau jalan tidak rata yang akhirnya menyebabkan kemalangan apabila kenderaan yang dipandu gagal dikawal dan bertembung dengan kenderaan lain atau terbabas.

Isu kerosakan jalan raya yang berlubang-lubang dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya, khasnya di sepanjang Jalan Beluran ke Telupid bukanlah perkara baharu.

Isu kerosakan jalan termasuklah Jalan Paitan-Kanibungan telah berlarutan sejak sekian lama dan sehingga kini masih belum ada jalan penyelesaian terbaik serta sering menjadi keluhan rakyat.

Akhbar Utusan Borneo juga pernah mendedahkan isu kerosakan jalan raya Beluran-Telupid dalam dua rencana bersiri pada 2 dan 3 Jun 2017.

Namun, isu kerosakan jalan itu telahpun mendapat perhatian kerajaan pada Disember tahun lalu, selepas rakyat atau netizen menyuarakan dan mendesak pihak melalui pelbagai media termasuk akhbar, Facebook (FB) dan sebagainya agar memperbaiki kerosakan jalan raya itu demi keselamatan dan keselesaan pengguna.

  • oleh
  • Advertisement