Anda di sini

Cinta sampai hujung nyawa

Advertisement

DETIK BAHAGIA: Chan menolak Chai menggunakan kerusi roda ketika majlis perkahwinan mereka Jumaat lepas. - Gambar media sosial

KUCHING: "Saya akan jaga dia hingga ke akhir hayatnya...Cinta saya kepadanya amat mendalam, kata-kata tidak mampu menggambarkannya," demikian luah Chan Teck Kong, 80 suami kepada pesakit kanser, Peggy Chai, 76.

Chan ketika ditemui hari ini berkata, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berjaya memperisterikan Chai, lebih-lebih ketika meniti usia senja.

Bagaimanapun, semuanya menjadi kenyataan hasil usaha doktor, jururawat dan petugas Hospital Umum Sarawak, kini Chan dan Chai bergelar suami isteri.

"Berkahwin dengan saya adalah hasrat terakhir Chai dan kerana terlalu sayang kepada dia, saya bersetuju. Semua ini menjadi kenyataan hasil usaha pihak hospital (Hospital Umum Sarawak) khasnya wad kanser.

"Beberapa hari sebelum kami berkahwin pada Jumaat lepas (11 Januari 2019), Chai begitu bersemangat dan memaklumkan kepada Father Wong, yang selalu melawat dan berdoa untuk pesakit di sini (HUS) dia mahu berkahwin dengan saya, sedangkan hari-hari sebelumnya dia sangat lemah.

"Ketika itu saya keluar membeli barangan keperluan dan sebaik saya sampai Father Wong menyatakan hasrat Peggy dan saya terus bersetuju mengahwininya.

"Semua majlis dan makanan disediakan oleh pihak hospital, saya dan Peggy amat gembira dan tersentuh dengan kemurahan hati  semua doktor, jururawat dan petugas hospital," katanya.

 Chan menunjukkan gambarnya bersama Chai ketika mereka masih muda yang kekal disimpan di dalam telefon bimbitnya.
CINTA SEJATI: Chan menunjukkan gambarnya bersama Chai ketika mereka masih muda yang kekal disimpan di dalam telefon bimbitnya.

Chan memberitahu mereka berkenalan 30 tahun lalu ketika itu Chai merupakan anak didiknya di akademi tarian miliknya pada usia 43 tahun dan mereka sering bergandingan setiap kali membuat persembahan di majlis-majlis tertentu.

"Persahabatan kami bermula di akademi tarian milik saya, Peggy ialah murid saya, dia begitu minat dan berbakat. Hubungan kami semakin rapat apabila dia kehilangan suami tersayang.

"Pada September 2015 saya bersara dan tidak lagi mengusahakan akademi tarian kerana mahu menjaga Peggy sepenuhnya selepas dia disahkan mengidap kanser ovari tahap empat," katanya dengan nada sayu.

Bermula dari detik itu katanya beliau menjaga Chai di rumah dan di Wad Paliatif HUS selepas dimasukkan ke wad berkenaan sejak dua setengah bulan lalu.

"Dia sendiri mahu tinggal di sini, kerana katanya doktor dan jururawat di sini sangat baik serta menjaganya dengan baik sekali. Dia amat tersentuh dengan layanan semua orang di sini," kata Chan.

Kisah Chan dan Chai mendapat perhatian umum selepas majlis perkahwinan mereka menjadi tular dalam media sosial seperti Facebook.

Rata-rata pengguna Facebook menzahirkan ucapan tahniah kepada pasangan tersebut dan mendoakan kebahagiaan pasangan tersebut.

Tidak kurang yang memuji usaha pihak HUS yang membenarkan majlis seumpama itu berlangsung buat julung kalinya itu.
 

  • oleh
  • Advertisement