
KOTA KINABALU: Sebutir bom peninggalan Perang Dunia Kedua ditemukan oleh seorang lelaki ketika sedang membersihkan kawasan berdekatan salah sebuah sekolah di Kudat.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, pada 12 Januari lalu, pengadu seorang lelaki berbangsa Cina memberitahu bahawa rakannya telah memaklumkan mengenai penemuan terbabit pada jam 2 petang.
"Pengadu dan rakannya kemudiannya pergi ke kawasan itu dan terjumpa satu objek besi berukuran 3 kaki yang disyaki bom.
"Bom ini dipercayai digugurkan tentera Jepun pada Perang Dunia Kedua tetapi tidak meledak," katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar pasukan dari Unit Pemusnah Bom ke Kudat untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, bom berkenaan sudah dialihkan dan akan diletupkan di kawasan lain agar tidak menjejaskan keselamatan orang awam.
"Sama ada bom itu aktif atau sebaliknya, kita kena tunggu laporan daripada Unit Pemusnah Bom.
"Maklumat awal mendapati bom itu masih dalam keadaan baik walaupun sudah berkarat...cuma tidak tahu sama ada bahan peledak di dalam bom itu masih aktif atau sebaliknya," katanya.