Anda di sini

5 Kemahiran Yang Perlu Dimiliki Untuk Kejayaan Kerjaya

Advertisement
 

Pada ketika saya tamat pengajian universiti lebih kurang 12 tahun yang lepas, seorang profesor saya memberi sebuah nasihat yang tidak ternilai kepada saya.

Katanya, “Kamu mungkin ingat kamu sudah habis belajar tetapi kamu harus sedar, ini hanyalah detik permulaan. Kebanyakan yang kamu pelajari akan lapuk dalam masa lima tahun. Jika kamu ingin mencapai prestasi yang lebih tinggi, kamu harus terus belajar.”

Ketika itu, saya semacam pasang telinga kuali sahaja. Hasrat saya adalah menjadi wartawan. Takkanlah kemahiran yang diperlukan akan berubah begitu ketara dalam masa lima atau 10 tahun, bisik hati saya.

Tambahan pula, semua orang pasti akan sentiasa membaca surat khabar. Kalau tidak, dari mana pula mereka akan dapat berita semasa?

Pemikiran sebegini barangkali berlegar juga dalam minda graduan pembangun web. Pada tahun 1990-an dan awal tahun 2000, kerja menyiapkan laman web cukup rumit. Perlu tahu pengekodan dan memandangkan segenap perkara bakal melibatkan Internet, seseorang pembangun web mestilah laku bagai pisang goreng panas!

Pejam celik

Tempoh 10 tahun sudah pun berlalu. Kini saya sedar nasihat profesor saya amat bernas sekali.

Hari ini, kita mendapat suapan berita daripada pelbagai sumber, misalnya media alternatif, media sosial, blog serta ‘kewartawanan rakyat’.

Bagi reka bentuk web pula, pada hari ini sesiapa yang memiliki laptop dan sambungan Internet boleh mereka bentuk laman web dalam beberapa minit sahaja.

Nampaknya, selain frasa seperti: “Kami selalu buat kerja macam ini”, mungkin kita patut senaraikan “Orang ramai memang memerlukan…” dalam fail yang ditanda *Frasa Berbahaya yang Harus Dielakkan*. 

Sungguh gentar sekali melihat betapa pesat bergeraknya perkembangan sosial, ekonomi dan teknologi apatah lagi hendak ikut segala macam trend yang wujud.

Namun begitu, perkembangan sebegini sepatutnya memanfaatkan kita.

Jika kita memilih untuk melengkapkan diri dengan teknologi semasa melalui pembelajaran, kita dapat menjadikan benda yang kita takuti sebagai perkara untuk membangunkan diri dan berjaya.

Artikel berkaitan: Membina Pasukan Berprestasi Tinggi Lima kemahiran kritikal 

Untuk membantu kita mengorak langkah ke hadapan, mari kita teliti lima kemahiran yang semakin meningkat nilainya demi kejayaan kerjaya masa hadapan kita.

1. Memanfaatkan trend baharu

Tempat kerja telah berubah secara mendadak sejak 10 tahun lepas. Perubahan yang lebih ketara semestinya akan berlaku dalam masa 10 tahun akan datang.

Dunia sentiasa berubah dan kita ada dua pilihan – mencari jalan untuk bersaing dan memajukan diri, atau ketinggalan.

Kita boleh mengikuti kursus dalam atau luar talian, menghadiri seminar, membaca buku pembangunan diri atau mendengar nasihat pemimpin dalam industri. Namun hakikatnya adalah perancangan lima tahun tidak cukup untuk kita majukan diri.

Keadaan semasa mendesak kita untuk berfikir tentang masa hadapan dalam jangkauan 10, 15 dan 20 tahun akan datang, serta peranan semasa kita apabila segala macam pembangunan berlaku satu persatu.

2. Belajar teknologi baharu

Jika anda geli hati atau kecewa dengan golongan yang lebih berumur apabila mereka terkial-kial menggunakan telefon pintar, jangan gelakkan orang kerana kita bakal menjadi sebegitu rupa suatu hari nanti.

Kita semua selesa dengan benda yang kita ketahui, dan keselesaan membangkitkan keangkuhan.

Teknologi baharu muncul begitu pantas, dan kita perlu mengelakkan diri daripada duduk di bawah tempurung, apabila perkembangan terkini muncul. 

Kemampuan mempersiapkan diri dan memanfaatkan teknologi baharu akan memberi kita peluang untuk bersaing dengan lebih mantap berbanding golongan yang tidak ambil endah dengan perkembangan terkini.

3. Fokus pada perkhidmatan

Ini merupakan kemahiran yang penting untuk perkembangan dan kemajuan perniagaan. 

Apabila kesedaran pelanggan, permasalahan dan permintaan meningkat, maka organisasi perlu betul-betul mensasarkan perkhidmatan.

Sebagai individu, kita perlu tanya pada diri: adakah saya melibatkan diri hanya untuk menjayakan jualan, atau untuk menunjukkan betapa saya mengambil berat akan kualiti perkhidmatan yang disediakan organisasi?

Oleh sebab benda yang pelanggan suka atau tidak suka, perkara yang dianggap bernilai atau menakutkan sentiasa berubah, seseorang perlu tangkas membuat pengubahsuaian mengikut keperluan pelanggan. Dengan berbuat demikian, nilainya kepada organisasi akan meningkat lebih daripada intan permata.

4. Memantapkan kecerdasan emosi

Kecerdasan emosi menyentuh tentang cara mewujudkan hubungan yang bermakna, berpandukan kualiti seperti menjadi pendengar yang aktif, ada sifat empati, memberi respons, dan yang paling penting, memiliki kesedaran diri.

Salah satu cabaran terbesar bagi sesebuah organisasi hari ini ialah kebanyakan pemohon kerja memiliki kemahiran yang relevan dengan syarikat  tetapi mereka kurang dari segi kemahiran ‘insaniah’, yang penting untuk membangunkan perkongsian kerja yang kukuh, sama ada dari segi dalaman dan luaran.

Dalam kekalutan menyiapkan kerja, golongan yang boleh berhubung atau mengaitkan diri dengan orang lain sangat bernilai untuk syarikat.

5. Memupuk minda keusahawanan

Teras keusahawanan ialah dedikasi, dorongan, ketekunan dan kreativiti.

Usahawan mempunyai banyak idea berkenaan cara untuk menambah nilai bagi orang di sekeliling mereka dan merungkai masalah yang rumit.

Jika kita hanya duduk di meja dan mengendalikan tugasan rutin atau ikut deskripsi tugas sahaja, maka kita hanya melakukan kerja remeh yang boleh dibuat oleh 100 orang yang lain.

Artikel berkaitan: Adakah Anda Proaktif?

Tetapi jika kita kerap mengeluarkan idea bernas, tentang cara menyiapkan kerja dengan lebih pantas dan bagus, serta mengambil inisiatif melaksanakan idea yang disarankan, orang di sekeliling akan terus sedar bahawa mereka memiliki rakan sekerja yang tanpanya, payah untuk mereka jayakan sesuatu.

Sumber
Sumber
  • oleh
  • Advertisement