Anda di sini

Pembangunan keutamaan GPS

Advertisement
 Rombongan Jelajah GPS diketuai Gerald (tengah) bersama Abang Johari, Tiong (tengah) serta perwakilan parti komponen pada Jelajah Bendera GPS di Bintulu semalam.
GPS TERBAIK: Rombongan Jelajah GPS diketuai Gerald (tengah) bersama Abang Johari, Tiong (tengah) serta perwakilan parti komponen pada Jelajah Bendera GPS di Bintulu semalam.

BINTULU: Kepimpinan negeri ini telah dewasa dan dapat berfikir sendiri dalam merancang bagaimana meneruskan usaha Tok Nan (bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem) mempertahan hak-hak Sarawak yang terhakis.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata keutamaan perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini adalah membangunkan Sarawak supaya rakyat berbilang kaum dan agama dapat hidup tenteram dan aman sekali gus meningkatkan taraf kehidupan mereka.

"Ini kerja kita, dengan ini kita ucap tahniah kepada Ahli Yang Berhormat, rakan-rakan wanita meninggalkan keluarga masing-masing menjelajah bersama GPS dari Lawas ke Limbang seterusnya ke Miri, Bintulu dan seluruh Bumi Kenyalang," katanya semasa menyambut ketibaan rombongan Jelajah Bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) diketuai Ketua Pemuda GPS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Gerald Rentap Jabu di Dewan Suarah Bintulu semalam.

Pengerusi GPS itu mengucapkan tahniah kepada seluruh anggota rombongan yang bersemangat dan berjuang untuk Sarawak pada Jelajah Bendera GPS itu.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing mengalu-alukan ketibaan rombongan dan mengucapkan tahniah kepada rombongan Jelajah Bendera GPS itu.

"Jelajah ini sungguh hebat, kreatif dan proaktif mempromosi GPS untuk rakyat seluruh Sarawak namun kita perlu membuktikan dan memberi sokongan kuat membela nasib rakyat," katanya.

Dalam pada itu, Gerald berkata rombongan jelajah itu bermula di Lawas, Limbang dan Miri dengan perjalanan memakan masa lebih daripada 12 jam dengan pengangkutan bas.

“Hari ini sangat hebat kerana adanya Ketua Menteri bersama kita. Ini amat bersejarah, semalam kita memperkenalkan logo, lagu dan perjuangan kita dalam GPS.

"Yang paling penting kita empat parti asal Sarawak mempertahankan Sarawak. Ini adalah barisan hadapan bagi empat parti bergabung memperjuang hak rakyat Sarawak.

"Berilah sokongan padu kepada kita, sebagai anak muda Sarawak memang kita menerima baik, mendengar harapan dan impian rakyat Sarawak khasnya generasi muda mempertahan keharmonian, kekayaan, kemajuan, keamanan dan perpaduan di Sarawak.

"Semua rombongan dan ketua cawangan parti perlu bersatu padu, menyokong kuat sekali gus berterima kasih kepada veteran kita mempertahankan Sarawak dengan titik peluh, khidmat dan semangat membawa kita lebih berkepimpinan," katanya.

Beliau berkata, GPS sebagai peneraju komited memberikan perkhidmatan terbaik, menjaga hak terhakis, mengutamakan Sarawak dan membawa lebih banyak pembangunan di negeri ini.

"Bintulu mempunyai simpanan gas terbesar dan ada Bakun di sini, jadi lindunginya, jangan dikacau orang lain.

“Namun, kita mesti bekerja keras menjadikan GPS satu entiti menjaga keutamaan rakyatnya," jelas beliau.

  • oleh
  • Advertisement