Anda di sini

ATA mampu galak industri pelancongan tempatan

Advertisement
 Abdul Karim serta isterinya, Datin Zuraini Abdul Jabbar bersama Hii, Lee (empat kiri), Sim dan tetamu lain merakam kenangan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 di BCCK malam Jumaat lalu.
KENANGAN: Abdul Karim serta isterinya, Datin Zuraini Abdul Jabbar bersama Hii, Lee (empat kiri), Sim dan tetamu lain merakam kenangan pada majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 di BCCK malam Jumaat lalu.

KUCHING: Sarawak menyokong sepenuhnya penganjuran Anugerah Televisyen Asia (ATA) Ke-23 buat julung kalinya di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia mampu menggalakkan industri pelancongan tempatan yang dilihat mempunyai potensi besar.

Tambahnya, industri pelancongan termasuk dalam insiatif transformasi digital yang dipelopori Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Kemeriahan acara itu sendiri menunjukkan Kerajaan Sarawak sebagai tuan rumah yang terbaik untuk bintang-bintang hiburan kelas dunia di seluruh Asia.

“Malah penganjuran ATA di negeri ini adalah selari dengan pelancaran Kempen Melawat Sarawak 2019,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Jumaat lalu.

Beliau menambah, Kempen Melawat Sarawak itu juga adalah sebagai usaha kerajaan negeri mempelbagaikan ekonomi dan mendorong industri pelancongan ke arah transformasi digital.

“Bagi kita di Sarawak, kita mempunyai harapan besar dan rancangan yang hebat untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

”Setakat bulan November tahun lalu, kita menerima 4.3 juta pelancong dari seluruh dunia dan kami yakin jumlah ini dapat ditingkatkan dengan rangkaian yang baik terutama melalui penganjuran khas dengan negara lain.

“Salah satunya adalah menerusi penganjuran majlis ATA ini sebagai langkah awal untuk memperkenalkan keunikan Sarawak di mata dunia,” jelasnya.

Abdul Karim dalam pada itu menggesa penggiat industri seni tempatan untuk melihat pembinaan identiti dan mengumpul cerita dalam konteks Asia Tenggara.

“Dengan cara ini, saya berpendapat ATA akan sentiasa relevan sebagai platform terbaik untuk mencungkil bakat dari Asia.

“Di peringkat global pula, permintaan terhadap kandungan berkualiti dan naratif universal Asia semakin meningkat daripada sebelumnya berikutan revolusi digital dan penembusan Internet,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi ATA Lee Keen Whye berkata, pihaknya sangat menghargai sokongan yang diberikan Kerajaan Sarawak terhadap penganjuran ATA Ke-23.

“Kita berharap agar kerjasama seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa depan,” ujarnya sambil memuji keindahan persekitaran di bandar raya Kuching yang disifatkannya sebagai harmoni.

Majlis turut menyaksikan sebanyak 28 daripada 42 kategori anugerah yang dipertandingkan diumumkan malam kelmarin dan pemenang dipilih oleh panel pakar yang terdiri daripada 50 juri terbaik di rantau Asia.

Kira-kira lebih 50 selebriti tersohor dari negara-negara Asia termasuk Cheng Rexen, Maneerat Kum-Uan, Hu Gua, Ah Xiang, Louis Scott dan banyak lagi menghadiri Majlis Makan Malam Gala ATA Ke-23 ini.

Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Hii Chang Kee, Pengarah Program Koh Jik Seng, Penasihat Program Sim Kiang Chiok serta tetamu kenamaan lain.

  • oleh
  • Advertisement