Anda di sini

Tiada halangan selagi patuh garis panduan

Advertisement

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menghalang mana-mana penceramah agama untuk berceramah selagi mematuhi garis panduan dan tidak menyentuh isu yang boleh menimbulkan ketegangan agama dan keselamatan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata mereka yang ingin menganjurkan ceramah hanya perlu membuat permohonan kepada pihak berkuasa agama di negeri berkenaan supaya penganjur dan penceramah yang diundang dipastikan tidak mempunyai rekod menimbulkan masalah dari sudut agama, kaum dan keselamatan.

“Kami menggunakan dasar terbuka dan tiada halangan kepada mereka untuk berceramah asalkan mematuhi garis panduan tertentu yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan peruntukan khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Peruntukan e-Khas) bernilai RM110,000 kepada 13 NGO dari Selangor, di sini semalam.

Ditanya sama ada kerajaan akan menghalang penceramah agama kontroversi Dr Zakir Naik daripada menyampaikan kuliah di negara ini, Mujahid berkata Dr Zakir tidak dihalang daripada berceramah selagi kehadirannya tidak menimbulkan masalah selain patuh kepada undang-undang negara ini.

Berhubung dakwaan kerajaan India bahawa ceramah Dr Zakir lebih berbentuk kebencian, Mujahid berkata bagi Wilayah Persekutuan yang terletak di bawah bidang kuasanya selaku menteri, pihaknya tidak menemui sebarang isu berkaitan penceramah tersebut.

“Setakat ini tiada larangan rasmi, cuma Dr Zakir perlu merujuk kepada prosedur di negeri di mana beliau ingin berceramah dan soal dibenarkan atau tidak terpulang kepada bidang kuasa negeri terbabit,” katanya.

Mengenai Peruntukan e-Khas itu, Mujahid berkata ia diluluskan pada mesyuarat kabinet Julai lepas (2018) apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju memberikan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada menteri dan RM500,000 kepada timbalan menteri untuk diagihkan kepada NGO atau persatuan yang berkelayakan untuk melaksanakan program masing-masing.

Beliau berharap kesemua NGO yang menerima peruntukan tersebut dapat menggunakannya sebaik mungkin bagi menjalankan aktiviti yang berupaya memacu pembangunan masyarakat selain menjadi pemangkin dalam merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat. — Bernama

Advertisement