Anda di sini

Tentera Sudan serang penunjuk perasaan di hospital: Amnesty

Advertisement

PARIS: Pasukan keselamatan Sudan telah menyerbu sebuah hospital bagi memburu mereka yang mendapatkan rawatan untuk kecederaan akibat tembakan yang di-alami semasa rali menentang Presiden Omar al-Bashir, kata Amnesty International pada Khamis.

Anggota tentera melepaskan tembakan peluru hidup dan gas pemedih mata ketika mereka memasuki hospital pada lewat Rabu lepas di Omdurman, bandar berkembar bagi bandar utama Khartoum, mengasari para doktor dan pesakit, menurut kumpulan hak asasi itu.

“Serangan ini ke atas sebuah hospital merupakan satu pencabulan yang keterlaluan terhadap undang-undang antarabangsa,” timbalan pengarah Amnesty bagi Afrika Timur, Sarah Jackson, menyatakan dalam satu kenyataan.

Rali pada Rabu lepas di Omdurman merupakan yang terbaharu dalam bantahan jalanan selama beberapa minggu terhadap keputusan kerajaan untuk menaikkan harga roti sebanyak tiga kali ganda.

Polis pencegah rusuhan telah melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah beratus-ratus penunjuk perasaan dan kerajaan mengesahkan pada Khamis bahawa tiga orang terkorban.

Itu membawa kepada angka kematian rasmi akibat protes setakat ini seramai 22 orang.

Namun pihak Amnesty menyatakan lebih 40 orang telah terbunuh dalam lebih 380 bantahan terhadap pe-ningkatan kos hidup sejak 19 Disember, dan lebih 1,000 orang telah ditangkap.

Jackson menyeru kepada kerajaan agar mengambil “tindakan segera untuk menghentikan amalan menembak penunjuk perasaan dan menghormati hak rakyat Sudan bagi kebebasan bersuara.”

Seorang doktor memberitahu wartawan AFP pada Rabu lepas bahawa enam penunjuk perasaan telah dirawat di hospital utama di Omdurman bagi kecederaan akibat tembakan.

Amnesty tidak menyatakan sekiranya anggota tentera telah menahan mana-mana pesakit tersebut. — AFP

Advertisement