Anda di sini

Strategi baharu perangi penularan rabies dicari: Uggah

Advertisement
 Uggah mempengerusikan mesyuarat mengenai rabies di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia di Kuching semalam.
BINCANG: Uggah mempengerusikan mesyuarat mengenai rabies di Bilik Gerakan Negeri di Wisma Bapa Malaysia di Kuching semalam.

KUCHING: Bengkel tiga hari akan diadakan bermula 16 Januari ini bagi merumuskan strategi baharu dalam usaha memerangi penularan wabak rabies di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bengkel tersebut akan melihat semula strategi semasa dan membangunkan strategi baharu bagi memerangi wabak ini.

Katanya semua agensi berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), polis, pertahanan, RELA dan Jabatan Perkhidmatan Veterinari Sabah dan Putrajaya akan menyertai bengkel itu.

Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, terdapat keperluan untuk menamatkan wabak berkenaan yang telah menjejaskan 60 kawasan kecuali di bahagian Limbang.

“Penyakit maut ini masih menghantui kita selepas pertama kali dikenal pasti pada 1 Julai 2017 di Kampung Paon Ribuh di Serian.

“Empat hari kemudian Serian diisytiharkan sebagai kawasan pertama dijangkiti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemandu negeri mengenai wabak berkenaan di sini semalam.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Jaul Samion dan Ketua Pengarah NADMA Datuk Mohtar Mohd Abdul Rahman.

Tambah Uggah, setakat ini sebanyak 15 kematian manusia direkodkan dan seorang mangsa masih dalam peringkat koma.

Katanya, menjadi kebimbangan di mana kini terdapat hampir 20,000 kes gigitan anjing direkodkan.

Malangnya kebelakangan ini katanya, terdapat maklum balas kurang menggalakkan daripada pemilik anjing kepada program pemvaksinan yang dijalankan.

“Kami merayu kepada mereka untuk tampil mendapatkan pemvaksinan ke atas haiwan peliharaan mereka sebelum terlambat,” katanya.

Uggah turut menggesa pemilik yang telah membuat pemvaksinan ke atas anjing mereka pada Julai lepas untuk pemvaksinan semula selepas tempoh setahun.

Dianggarkan terdapat 225,000 populasi anjing di Sarawak dengan sejumlah 109,216 telah divaksin.

“Sasaran kita tahun ini adalah untuk pemvaksinan sekurang-kurangnya 70 peratus,” katanya sambil menambah, operasi pemvaksinan adalah berterusan sehingga negeri ini diisytiharkan sebagai bebas rabies.

Uggah turut memaklumkan menerima sokongan baik daripada kerajaan persekutuan sekali gus menunjukkan bahawa hubungan dengan kerajaan persekutuan adalah sangat baik.

Berhubung ujian yang dijalankan ke atas anjing katanya, daripada 928 sampel yang diuji, 323 telah didapati positif bagi penyakit tersebut dengan sebahagian 14,030 anjing kebanyakan terbiar telah dialihkan.

Uggah turut tidak menolak bahawa usaha memerangi rabies berdepan dengan cabaran berikutan saiz Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia yang dipercayai punca penularan penyakit ini.

Sebagai tambahan katanya, terdapat banyak anjing termasuk yang terbiar jauh ke pedalaman atau berdekatan sempadan.

Sementara itu, Mohtar berkata NADMA mempertimbangkan operasi bersepadu termasuk mengalihkan anjing terbiar di semua kawasan terjejas untuk membasmi rabies.

“Kami merayu kepada semua untuk membantu kami dalam operasi ini. Tolong vaksinkan anjing anda dan pastikan tidak berkeliaran di luar,” katanya.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Andrian Susin dalam taklimatnya berkata sebahagian 19,286 orang telah digigit dan telah dirawat.

Jabatan katanya, telah menganjurkan 11,240 ceramah antirabies yang dihadiri 346,000 rakyat di seluruh Sarawak.

Advertisement