Anda di sini

SIDS Sibu anjur Pertandingan Menenun Pua Kumbu

Advertisement
 Uchi (duduk, tengah) bersama ahli jawatankuasa penganjur Pertandingan Menenun Pua Kumbu Sarawak Edisi Ke-7 pada tahun ini.
MEMARTABATKAN PUA KUMBU: Uchi (duduk, tengah) bersama ahli jawatankuasa penganjur Pertandingan Menenun Pua Kumbu Sarawak Edisi Ke-7 pada tahun ini.

SIBU: Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Sibu menganjurkan Pertandingan Menenun Pua Kumbu Sarawak Edisi Ke-7 2019 bermula sekarang hingga 4 Mei ini.

Pengerusi SIDS Sibu Angelyn Uchi Maseng berkata hadiah bernilai kira-kira RM20,000 menanti pemenang.

“Pertandingan tahunan ini menggalakkan golongan wanita Dayak/Iban dan generasi muda terlibat dalam kraf tangan tenunan pua kumbu serta membangunkan dan mempertahankan kraf tangan sebagai warisan wanita Dayak/Iban seterusnya dijadikan produk pasaran,” katanya di sini semalam.

Jelasnya, pertandingan ini bermula pada bila-bila masa dari sekarang dan peserta diberi tempoh hingga 4 Mei ini untuk menyiapkan hasil tenunan pua kumbu mereka.

Peraturan dan syarat-syarat dikenakan ialah pertandingan ini terbuka kepada semua penenun di Sarawak tanpa mengira usia.

“Pertandingan kali ini dibahagikan kepada dua kategori sahaja iaitu Kategori 1 Cotton - Pua Kumbu dan Kategori 2 (Weaved Skirt/Kain Kebat),” katanya.

Tarikh akhir menghantar hasil tenunan sebelum 4 Mei 2019.

Setiap hasil tenunan perlu diletakkan label atau tanda ‘Tenun SIDS SIBU 2019’ di tepi kain untuk dua kategori tersebut.

Kriteria penilaian seperti berikut: Reka Bentuk/Ukir (40 peratus), Warna (mesti dalam pewarna semula jadi sahaja - 30 peratus), Komposisi/Ketulenan/Asal (15 peratus) dan Mutu Kerja/Kehalusan Tenunan/Kreativiti (15 peratus).

“Keputusan serta majlis penyampaian hadiah diumumkan sekitar Mei. Bagaimanapun, ia masih dalam perbincangan dan kita akan memberitahu tarikh dan lokasinya kemudian,” jelasnya.

Sebarang pertanyaan lanjut dan hasil tenunan hendaklah dihantar kepada Uchi di c/o Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC), Wisma Sanyan, 96000 Sibu (016-8825861), Priscilla Bunsi David, c/o Pejabat KEMAS Sibu, Tingkat 8, Wisma Persekutuan Blok 3, 96000 Sibu (019-8771840/084-333560) atau Mundun Undau c/o Sibu Water Board (016-8783894).

Borang penyertaan juga boleh didapati di laman web SIDS www.sids-sibu.blogspot.com atau daripada sekretariat SIDS Sibu.

Justeru, orang ramai yang mempunyai bakat menenun pua kumbu dialu-alukan menyertai pertandingan ini.

Uchi merupakan pengerusi pengelola pertandingan manakala ahli jawatankuasa lain ialah Mundun Undau (bendahari), Claudia Dieo (setiausaha) dan Priscilla Bunsi David (penyelaras).

Ahli jawatankuasa kecil ialah Monica Giri, Michelle Hildalyne, Magdalen Sinah, Magdaline Sigie, Catherine Kundau, Loryna Leman, Senorita Salleh, Tuai Rumah Catherine Tamoh dan Regina Emu.

Advertisement