Anda di sini

Sasad keluaran Keningau hasilkan tapai berkualiti

Advertisement
 Juraidah Jauhin, 36, menunjukkan sasad atau ragi yang menjadi ramuan utama untuk pembuatan tapai (rice wine) berkualiti di negeri Sabah, semalam. — Gambar Bernama
BERKUALITI: Juraidah Jauhin, 36, menunjukkan sasad atau ragi yang menjadi ramuan utama untuk pembuatan tapai (rice wine) berkualiti di negeri Sabah, semalam. — Gambar Bernama

KENINGAU: Minuman tapai (arak beras) yang dihasilkan di daerah ini oleh masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) terkenal di Sabah kerana ramuan ‘sasad’ atau ragi yang berkualiti.

Menghasilkan tapai yang berkualiti tidak semudah seperti yang difikirkan kerana ia memerlukan kemahiran dan kepakaran dalam menyediakan ramuan asas seperti beras serta sasad sebagai bahan  pencerna.   

“Ia sangat rumit kerana pembuat sasad harus mematuhi beberapa pantang larang. Jika pantang larang tidak dipatuhi, sasad tidak akan menghasilkan tapai yang berkualiti...tapai itu kemungkinan bertukar asam (masam) dan tidak boleh digunakan,” kata seorang pembuat tapai, Juraidah Jauhin, 36, kepada Bernama di sini.

Menurut Juraidah, antara pantang larang yang wajib dipatuhi sebelum menyiapkan sasad ialah pembuat dilarang menyentuh segala buah-buahan yang masam, selain tidak boleh diganggu atau terlibat dalam sebarang situasi tegang seperti bertengkar sekurang-kurangnya seminggu sebelum sasad itu diproses.

Juraidah berkata menurut kepercayaan etnik KDM, amalan ritual wajib dilakukan oleh pembuat tapai untuk menghasilkan sasad yang berkualiti.

“Sasad yang terbaik adalah rahsia utama untuk menghasilkan tapai yang berkualiti...sasad terbaik di Sabah hanya boleh diperoleh di daerah ini,” katanya.

Juraidah yang turut membuat dan menjual sasad berkata, bahan itu laris dijual di daerah ini khususnya menjelang Pesta Kaamatan, Krismas dan setiap hujung tahun.

“Menjelang perayaan pesta Kaamatan, saya memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan tetapi pada bulan-bulan biasa pendapatan sekitar RM1,300. Pendapatan ini cukup memadai untuk keluarga kecil seperti saya,” kata ibu kepada seorang anak itu.

Juraidah yang mewarisi kepakaran membuat sasad daripada nenek moyangnya berkata setiap sebiji sasad seberat 300 gram dijual pada harga RM3 sebiji.

Selain itu, beliau juga berniaga beras di pasar minggu Keningau yang memberi pendapatan sehingga RM7,000 sebulan. — Bernama

Advertisement