Anda di sini

Projek Pensel bantu pemuda OKU tabah sekolahkan adik-adik

Advertisement
 Norina menyerahkan beg sekolah serta peralatan persekolahan kepada Elviana.
GALAKAN: Norina menyerahkan beg sekolah serta peralatan persekolahan kepada Elviana.
 Pasukan Projek Pensel sentiasa komited untuk membantu golongan pelajar yang memerlukan bantuan terutama dari kalangan keluarga miskin. Kelihatan Norina (tiga kiri) mengetuai pasukannya bergambar bersama Elviana di hadapan rumahnya di Rumah Lada, Skim Melugu, Sri Aman.
INISIATIF: Pasukan Projek Pensel sentiasa komited untuk membantu golongan pelajar yang memerlukan bantuan terutama dari kalangan keluarga miskin. Kelihatan Norina (tiga kiri) mengetuai pasukannya bergambar bersama Elviana di hadapan rumahnya di Rumah Lada, Skim Melugu, Sri Aman.

MESKIPUN dirinya tidak memiliki pendidikan dan ilmu pengetahuan ditambah dengan kekurangannya, namun bagi seorang abang yang kurang upaya (OKU), beliau harus tabah untuk menjaga dua adik perempuannya dan memastikan mereka terus bersekolah hingga ke peringkat tertinggi.

Walaupun beliau seorang OKU, namun anak sulung tiga beradik, Delferson Kihem, 25, tetap mahu menyekolahkan dua adiknya hingga berjaya dengan melakukan apa jua kerja termasuk membaiki motosikal bagi menyara mereka tiga beradik.   

Tanpa pekerjaan tetap, Delferson yang tidak dapat berjalan dengan baik dan lebih banyak mengengsot, terpaksa bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung keperluan dan perbelanjaan.

Tiga beradik itu terkontang-kanting di rumah mereka di Rumah Lada, Skim Melugu, Sri Aman, sejak kematian bapa mereka pada 11 September, 2012 dan ibu mereka pada 13 September, 2017.

“Kadang-kadang ada juga saudara dan rakan-rakan yang mengenali datang berjumpa dengan saya untuk memberikan kerja dengan membaiki motosikal mereka.     

“Kebanyakan mereka yang datang ini pada dasarnya ingin membantu kerana bersimpati dengan kehidupan kami tiga beradik yang tiada lagi ibu bapa tempat bergantung,” katanya.

Menurut Delferson, adik perempuannya Fensurin Kihem, 19, kini belajar di sebuah institut pendidikan swasta di Kuching dalam peringkat diploma.

Manakala adik bongsu Elviana Meriam Kihem, 15, pula bakal menghadapi peperiksaan umum PT3 tahun ini.

Beliau telah mendapat perhatian daripada pasukan Projek Pensel, iaitu projek kemasyarakatan yang diwujudkan Norina Umoi Utot untuk membantu golongan kurang bernasib baik dan miskin yang mempunyai anak-anak bersekolah serta memerlukan bantuan.

Norina mengetuai sendiri pasukan tersebut melawat sambil menyerahkan bantuan kepada tiga beradik yatim piatu itu di rumah peninggalan ibu bapa mereka, baru-baru ini.

“Sejak ibu bapa kami meninggal dunia beberapa tahun lalu, hanya saya tempat adik-beradik bergantung hidup sepenuhnya.

“Seboleh mungkin saya melakukan yang terbaik untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan memastikan kedua-dua adik saya meneruskan persekolahan mereka, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kerap kali kesuntukan belanja.

“Nasih baik Elviana berjaya mendapat biasiswa yang membantu meringankan beban saya setiap sesi persekolahannya bermula.

“Saya amat berharap kedua-dua adik saya berjaya dalam pelajaran dan kehidupan mereka dengan memperolehi pekerjaan yang baik, memandangkan saya sendiri tidak berjaya sampai ke tahap mereka hari ini,” katanya sebak.

Sementara itu Norina, semasa bertemu dengan dua beradik terbabit di kediaman mereka, turut menghulurkan sumbangan peribadi berbentuk wang tunai, di samping bantuan Projek Pensel berupa keperluan pembelajaran termasuk beg sekolah.

Manakala Fesurin berada di Kuching kerana sedang belajar dan tinggal bersama saudara mereka di sana.  

“Lawatan seperti ini salah satu inisiatif yang dilaksanakan pasukan Projek Pensel bertujuan membantu golongan pelajar kurang bernasib baik dan keluarga miskin.

“Kita akan memberikan bantuan berupa keperluan persekolahan untuk memberi semangat kepada mereka meneruskan persekolahan tanpa berasa malu kerana tidak memiliki keperluan sekolah,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu projek ini turut menggalakkan murid-murid dari golongan memerlukan ini untuk berjaya dalam persekolahan mereka dan tidak menjadikan kemiskinan atau kekurangan dalam kehidupan mereka sebagai halangan untuk memperolehi pendidikan yang baik.

“Pasukan Projek Pensel ini pula sedaya upaya untuk sampai kepada kumpulan sasaran ini di kawasan Sri Aman, untuk bersama-sama berganding bahu dengan masyarakat membantu meringankan beban ibu bapa miskin yang mempunyai anak-anak bersekolah sama ada di peringkat rendah mahupun menengah,” tambah beliau lagi.

Pada masa sama, Norina dan pasukan Projek Pensel turut memberi galakan dan nasihat kepada anak-anak yatim piatu supaya tidak mudah patah semangat, sebaliknya terus cekal berdepan cabaran hidup.

“Hanya mereka yang bersemangat kuat boleh berjaya dalam kehidupan dan jangan sesekali meninggalkan persekolahan sebelum waktunya, kalau boleh, kerana pendidikan amat penting dalam membawa hala tuju anda pada masa hadapan serta boleh mengubah keadaan hidup yang sukar ketika ini,” ujar beliau lagi.

Advertisement