Anda di sini

Polis buru tahanan lari dari kawalan polis

Advertisement
JUSMAN Amir lari dari tahanan polis.
JUSMAN Amir lari dari tahanan polis.

SANDAKAN: Polis telah melancarkan gerakan besar-besaran bagi mengesan seorang lelaki yang melarikan diri dari kawalan polis dengan membuka gari semasa proses memuatkan tahanan ke dalam trak untuk dibawa dari Mahkamah Sandakan ke Penjara Sibuga, petang Khamis.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40 petang ketika suspek dikenali sebagai Jusman Amir ,29,  warga Indonesia telah berjaya membuka gari berantai yang di pasang di tangannya dan terus melarikan diri ke arah kawasan semak di Taman Khong Lok Batu 7, Sandakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan  Abdul Fuad Abdul Malek berkata suspek merupakan seorang tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran yang dibawa ke Mahkamah Majistret Sandakan untuk dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu dengan sengaja memasukan dadah ke dalam tubuh badan.

“Selepas sebutan kes, suspek telah diarahkan oleh Mahkamah untuk ditahan di Penjara Sandakan di bawah Seksyen 259 Kanun Acara Jenayah sementara menunggu sebutan semula kes,” katanya.

Beliau berkata suspek melarikan diri dari kawalan polis dengan membuka gari semasa proses memuatkan tahanan ke dalam trak polis untuk dibawa dari Mahkamah Sandakan ke Penjara Sibuga Sandakan.

“Semasa melarikan diri suspek yang berbadan kurus, berkulit gelap dan mempunyai misai serta janggut pendek itu memakai sehelai baju hitam bertulis 'Sex Pistol' dan seluar pendek warna putih. Suspek berbangsa Bugis dan mempunyai tatoo di bahagian lengan tangan kiri,” katanya.

Abdul Fuad berkata operasi untuk mengesan dan menangkap suspek dijalankan dengan serta-merta oleh pihak polis dari IPD Sandakan dengan kekuatan dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Tugas Am dengan bantuan K9.

“Suspek masih belum dapat dikesan sehingga kini dan Ops Tutup 24 jam juga telah di lancarkan dgn serta-merta oleh IPD Sandakan bagi mengesan suspek,” katanya.

Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek untuk segera berhubung dengan pihak polis di talian 089-212222.

“Kes berkenaan kini di siasat di bawah Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement