Anda di sini

Piala Asia: UAE kian hampiri peringkat 16 pasukan terakhir

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Piala Asia Kumpulan A di antara India dan UAE di Stadium Zayed Sports City di Abu Dhabi. — Gambar AFP
PENUH AKSI: Antara babak-babak aksi perlawanan Piala Asia Kumpulan A di antara India dan UAE di Stadium Zayed Sports City di Abu Dhabi. — Gambar AFP

ABU DHABI: Pasukan tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) semakin mendekati tempat pada peringkat 16 terakhir di Piala Asia kelmarin manakala jurulatih Bernd Stange menanggung akibat bagi kekalahan Syria kepada Jordan – menjadi pengurus kedua yang menjadi mangsa dalam hanya enam hari pertandingan.

UAE terselamat daripada permulaan yang mendebarkan untuk menewaskan India 2-0 tetapi ia ternyata malam yang suram bagi Stange, 70, yang menyaksikan Syria tewas 2-0 dan dipecat sejurus kemudian.

“Persekutuan Bola Sepak Syria memutuskan untuk memecat jurulatih Bernd Stange,” satu kenyataan dalam laman Facebook organisasi itu menyebut, dan menambah bekas jurulatih kebangsaan Fajr Ibrahim akan memikul tugas untuk perlawanan terakhir menentang Australia dalam Kumpulan B.

Stange menyusuli pengurus Thailand, Milovan Rajevac, selepas pengurus Serb itu dipecat ekoran kekalahan 4-1 oleh pasukan Gajah Perang kepada India.

Mereka bangkit untuk menewaskan Bahrain 1-0 kelmarin.

Bagaimanapun kemenangan Jordan menjadikan mereka pasukan pertama untuk menempah tempat pada peringkat kalah mati, selepas mereka mengecewakan juara bertahan Australia.

Di Abu Dhabi, Khalfan Mubarak dan Ali Mabkhout menemui sasaran bagi pasukan Emiriah, yang bernasib baik untuk mencatatkan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan pembuka tabir menentang Bahrain selepas tendangan penalti lewat yang kontroversi Sabtu lepas.

“Keputusan dengan Bahrain mengecewakan dan saya dengan rendah hati memohon maaf kepada penyokong,” kata jurulatih UAE, Alberto Zaccheroni, yang mengemudi Jepun untuk memenangi kejuaraan Piala Asia pada 2011.

“Namun para pemain menunjukkan semangat dan keazaman yang hebat pada malam ini dan kami sewajarnya menang. Ia adalah penting untuk semakin berkembang dalam kejohanan ini.”

Kapten India Sunil Chhetri memintas Lionel Messi dalam jumlah gol antarabangsa apabila pasukan Harimau Biru itu mengejutkan Thailand 4-1 dalam perlawanan pembukana mereka sehingga menimbulkan perbandingan dengan kapten kriket India, Virat Kohli, di atas kehebatannya.

Penyerang malar segar itu memaksa penjaga gol UAE Khalid Eisa bertindak dengan pintar untuk menyelamatkan gawang sebelum pasukan tuan rumah menjaringkan gol pertama yang tidak dijangkakan.

Mubarak menolak bola masuk dari sudut kecil empat minit sebelum waktu rehat bagi pasukan Emiriah, yang menjadi naib juara kali terakhir negara itu menganjurkan Piala Asia pada 1996.

Mabkhout menjamin mata dengan penyudah hebat dua minit sebelum tamat – golnya yang ke-47 dalam 75 perlawanan antarabangsa – untuk menggilapkan lagi keputusan perlawanan tetapi meninggalkan UAE di tempat teratas Kumpulan A dengan empat mata.

Sebelum jaringan Mubarak – yang pertama untuk negaranya – pasukan yang mara ke peringkat separuh akhir 2015 itu amnya terbatas kepada rembatan yang hanya memberi ancaman kepada armada kereta mewah di tempat letak kereta stadium.

India, yang menjadi naib juara dalam penampilan sulung mereka di Piala Asia pada 1964 ketika ia adalah pertandingan empat pasukan yang dimenangi Israel, masih yakin dengan peluang mereka untuk mara ke fasa kalah mati buat pertama kali.

“Kami mencipta cukup banyak peluang untuk memenangi dua perlawanan, jadi saya rasa kami sewajarnya memperolehi sekurang-kurangnya keputusan seri,” kata jurulatih India, Stephen Constantine.

“Namun jika anda tidak menterjemahkan peluang anda, anda menanggung akibatnya – dan kami menanggung akibatnya. Saya ada 23 pemain yang amat kecewa sekali.”

Jordan menuntut enam mata yang sempurna selepas gol-gol pada separuh masa pertama daripada Mousa Mohammad Suleiman dan Tareq Khattab membolehkan mereka untuk menang 2-0 ke atas Syria dalam perlawanan Kumpulan B yang kasar.

“Kami tahu dari mana asal usul kami – dari sangat rendah – tetapi kami mengubah banyak perkara,” kata jurulatih Jordan, Vital Borkelmans.

“Dahulu tidak ada orang percaya kepada pemain ini,” tambah pengurus dari Belgium itu. “Sekarang saya rasa semua media dan rakyat Jordan percaya mereka mempunyai pasukan yang bagus.”

Di Dubai, ‘Messi Thai’ Chanathip Songkrasin meledakkan pasukan Thai untuk mencatatkan kemenangan kedua mereka dalam sejarah Piala Asia untuk menghidupkan semula harapan mereka, dengan merembat masuk jaringan yang melepasi penjaga gol Bahrain, Sayed Shubbar Alawi. — AFP

Advertisement