Anda di sini

Pekebun kecil digalak usahakan tanaman kenaf

Advertisement
 Shamsul (tiga kanan) beramah mesra dengan sebahagian pekebun kecil RISDA pada Majlis Dialog Pekebun Kecil Risda Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, semalam. — Gambar Bernama
BERTANYA KHABAR: Shamsul (tiga kanan) beramah mesra dengan sebahagian pekebun kecil RISDA pada Majlis Dialog Pekebun Kecil Risda Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, semalam. — Gambar Bernama

REMBAU: Pekebun kecil disaran mengusahakan tanaman kenaf sebagai tanaman integrasi untuk meningkatkan pendapatan mereka sekali gus memenuhi permintaan terhadap komoditi tersebut.

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tanaman kenaf merupakan industri yang sedang berkembang untuk menghasilkan pembungkus makanan, dulang farmaseutikal dan perabot.

“Tanaman kenaf mempunyai potensi yang besar. Kita memberi tumpuan kepada kenaf selepas kajian yang dibuat oleh Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dalam bidang biodegradable sebagai pembungkus makanan dan (dalam bidang) farmaseutikal iaitu dulang untuk meletakkan jarum dan sebagainya dan kajian ini telah mendapat pingat emas.

“Sebagai pembungkus biodegradable yang digunakan untuk menggantikan polistirena, kita memerlukan 10 juta pembungkus sebulan. Bagi farmaseutikal, kita telah menjalankan program perintis dengan Hospital Shah Alam dan kita sedang memperkenalkan kepada hospital kerajaan untuk membeli peralatan ini.

“Tanaman kenaf merupakan tanaman yang mudah dan hanya mengambil masa enam bulan untuk dituai. Oleh itu, pekebun kecil digalakkan mengusahakan tanaman kenaf untuk meningkatkan pendapatan mereka sementara menunggu hasil getah atau sawit,” katanya dalam program Dialog dan Ramah Mesra Pekebun Kecil di sini, kelmarin.

Bagi meningkatkan hasil tanaman kenaf, katanya kementerian dalam proses membina kilang di Terengganu dengan pelaburan sebanyak RM20 juta dan dijangka beroperasi pada pertengahan tahun ini.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar meminta pekebun kecil membuat tuntutan bayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG) berikutan jumlah yang membuat tuntutan sebelum ini hanya 20 peratus.  — Bernama

Advertisement