Anda di sini

Melahirkan pelajar cergas fizikal, mental

Advertisement
 Sim (empat kiri) melakukan simbolik perasmian Karnival Olahraga Tingkatan Enam Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Stadium Tun Zaidi, Sibu semalam.
RASMI: Sim (empat kiri) melakukan simbolik perasmian Karnival Olahraga Tingkatan Enam Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Stadium Tun Zaidi, Sibu semalam.

SIBU: Karnival olahraga turut memainkan peranan penting sebagai salah satu aktiviti kokurikulum merupakan sebagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Sim Peck Huat berkata kepentingan program itu setara dengan kepentingan aktiiti dalam bilik darjah dan peranannya penyumbang dan pelengkap kepada keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

“Karnival Olahraga Tingkatan Enam ini merupakan satu langkah tepat dan merupakan antara landasan terbaik untuk melahirkan pelajar cergas fizikal dan mental.

“Penyertaan pelajar dalam acara sukan seperti olahraga mampu membentuk seorang pelajar cergas, patuh dengan peraturan.

“Secara tidak langsung membentuk seorang modal insan yang berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan mempunyai  jati diri kental serta mempunyai daya kepimpinan.

“Perkara inilah kita mahu serapkan dalam diri pelajar tingkatan enam bukan sahaja cerdas serta pintar dari segi intelek malah aktif dari segi jasmani,” katanya mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri merasmikan Karnival Olahraga Tingkatan Enam Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Stadium Tun Zaidi di sini semalam.

Sim turut menjelaskan kejohanan olahraga itu tidak semata-mata menentukan juara dan pemenang bagi sesuatu acara.

Katanya, perkara lebih penting ialah memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada pelajar kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan rapi dan pengorbanan.

“Melalui latihan dari aspek persiapan mental dan spiritual, seseorang atlet itu dilatih agar mempunyai daya saing dan semangat tinggi.

“Secara tidak langsung, kita mampu melahirkan modal insan berkualiti dan insan memiliki minda kelas pertama menjadi peneraju negara pada masa hadapan,” ujarnya.

Sim berkata, kegiatan sukan berterusan menjadi satu benteng penghalang kepada pelajar-pelajar daripada terlibat dalam pelbagai aktiviti tidak sihat.

Jelasnya, sukan juga berupaya memupuk perpaduan antara kaum kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Kita tidak harus memandang remeh tentang kepentingan perpaduan membina sebuah negara berjaya dan harmoni.

“Salah satu cara terbaik ke arah itu adalah melalui sukan seperti kejohanan olahraga ini. Semangat kerjasama dan bertoleransi amat penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama,” katanya.

Karnival Olahraga Tingkatan Enam Peringkat Negeri Sarawak 2019 anjuran bersama Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart disertai seramai 147 orang atlet dari 15 buah sekolah menengah dari empat PPD iaitu PPD Sibu, PPD Kanowit, PPD Meradong dan PPD Betong.

Sekolah menengah mengambil bahagian ialah SMK Sacred Heart, SMK Meradong, SMK Datuk Patinggi Kedit, SMK Rosli Dhoby, SMK Bandar Sibu, SMK Kanowit, SMK Sibu Jaya, SMK Lanang, SMK Sungai Merah, SMK Kampung Nangka, SMK Luar Bandar No.1, SMK Durin, SMK Jalan Oya, SMK Methodist dan SMK Chung Hua.

Hadir sama Ketua Unit Pengurusan Kemanusiaan PPD Sibu, Kong Chiong Hui dan Pengerusi Pengelola Karnival Olahraga Tingkatan 6 Tahun 2019, David Teo (Pengetua SMK Scared Heart).

  • oleh
  • Advertisement