Anda di sini

Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak di Kampung Bintawa siap Julai ini

Wan Junaidi ditemani Dr Abdul Rahman menyempurnakan simbolik pelancaran Projek Bina Baharu Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak Kampung Bintawa.

KUCHING: Impian penduduk Seberang Hilir untuk memiliki Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak (KKIK) akhirnya tercapai apabila kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi melaksanakan projek itu di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek yang menelan kos RM499,894 itu mula dibina bulan ini dan dijangka siap Julai tahun ini.

"Ini adalah usaha yang dilakukan Kerajaan Sarawak dengan mengambil alih projek bina baharu KKIK di Kampung Bintawa di bawah RTP.

"Kita berharap pembinaan klinik ini dapat berjalan dengan lancar dan siap dalam tempoh enam bulan yang ditetapkan iaitu pada Julai tahun ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Bina Baharu KKIK Kampung Bintawa yang disempurnakan Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sini hari ini.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, dana untuk projek pembinaan klinik itu diluluskan oleh kerajaan pusat terdahulu.

Namun, dedahnya apabila Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, dana untuk projek berkenaan ditarik balik.

"Kita sering mendengar keluhan dan aduan daripada penduduk kampung terutamanya ibu-ibu mengandung atau yang mempunyai anak kecil yang memerlukan perkhidmatan kesihatan tetapi keadaan KKIK sedia ada tidak selesa ekoran jumlah pesakit yang kian bertambah.

"Disebabkan pertambahan pesakit di sini, maka tempat sedia ada semakin sempit dan tidak kondusif untuk menampung keperluan penduduk kampung di kawasan Seberang Hilir ini," jelasnya sambil menambah jumlah penduduk di kawasan Seberang Hilir iaitu dari Boyan hingga Bintawa kini hampir mencecah 20,000 orang.  

Sementara itu, Wan Junaidi dalam ucapan perasmianya berkata, klinik berkenaan sememangnya sudah lama diimpikan penduduk di situ.

"Saya gembira projek ini akhirnya dapat dilaksanakan dengan menggunakan dana yang diluluskan oleh kerajaan negeri demi kegunaan masyarakat kampung di sini," ujarnya.