Anda di sini

KKM fokus untuk atasi lima faktor penyakit tidak berjangkit

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi fokus untuk mengurangkan lima faktor yang menyumbang kepada penyakit tidak berjangkit dalam kalangan penduduk Malaysia bagi tahun 2019, kata Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Kelima-lima faktor itu ialah hipertensi, diabetes, kolesterol tinggi, merokok dan obesiti, katanya.

Menurutnya, kajian bersama KKM dan Harvard University menunjukkan tahap kejayaan Malaysia dalam menangani penyakit tidak berjangkit dalam kalangan penduduknya agak rendah berbanding negara lain di rantau ini.

 Dr Dzulkefly menyifatkan usaha meningkatkan kejayaan KKM menangani penyakit tidak berjangkit dalam kalangan penduduk Malaysia sebagai cabaran besar yang perlu dipikul oleh beliau dan seluruh warga kerja KKM.

“Untuk mencapai matlamat tersebut, KKM akan memberi tumpuan kepada usaha penjagaan kesihatan iaitu beralih daripada penyembuhan kepada pencegahan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga kerja KKM di kementerian tersebut di sini semalam.

Namun, katanya ia tidak bermakna KKM akan mengabaikan usaha mengawal penyakit berjangkit seperti tuberculosis.

Mengenai aduan pengusaha kedai makan bahawa pendapatan mereka terjejas setelah larangan merokok diperkenalkan di tempat makan sejak 1 Jan, Dr Dzulkefly menyifatkan ia merupakan fenomena waktu yang singkat.

“Saya mahu lihat bukti. KKM juga dalam usaha mengumpul pelbagai bukti. KKM turut menerima maklumat mengatakan perniagaan kedai makan lebih baik sekarang kerana golongan berkeluarga selesa membawa anak kecil ke kedai makan apabila tidak ada gangguan asap rokok,” katanya. — Bernama

Advertisement