Anda di sini

Kehadiran anjing liar resahkan penduduk kampung

 Kehadiran anjing liar di Lorong 2B3 Kampung Tanjung Bundong Fasa Satu mendatangkan keresahan dalam kalangan ibu bapa.
GANGGU PENDUDUK: Kehadiran anjing liar di Lorong 2B3 Kampung Tanjung Bundong Fasa Satu mendatangkan keresahan dalam kalangan ibu bapa.

KOTA SAMARAHAN: Kehadiran anjing liar di kawasan kampung yang majoriti didiami masyarakat Islam di sekitar pekan Muara Tuang di sini mendatangkan keresahan dalam kalangan penduduk ketika wabak rabies masih hangat di negeri ini.

Tinjauan Utusan Borneo di Kampung Tanjung Bundong Fasa Satu mendapati anjing liar berkeliaran di jalan-jalan kampung.

Malah, anjing liar itu dilihat turut bergerak secara berkumpulan menyelongkar tong sampah penduduk kampung yang diletakkan di hadapan rumah mereka.

Menurut seorang penduduk berusia 53 tahun yang enggan namanya disiarkan, kehadiran anjing liar itu di kampungnya khasnya di Lorong 2B3 disedari sejak tahun lepas.

“Saban hari jumlah anjing liar berkeliaran dalam kampung ini semakin bertambah.

“Keadaan ini bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk kampung terutama kanak-kanak tetapi menyebabkan persekitaran kotor kerana tong sampah yang diletak di hadapan rumah turut diselongkar anjing-anjing ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dedahnya lagi, kehadiran anjing liar itu juga mengganggu ketenteraman penduduk kampung terutama pada waktu malam.

“Hampir setiap malam anjing-anjing ini menyalak dan keadaan ini amat mengganggu kami ketika tidur, lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak kecil pasti akan terjaga dari tidur,” tambahnya.

Seorang lagi penduduk berusia 32 tahun, juga tinggal di Lorong 2B3 kampung berkenaan berkata, anjing liar itu bukan sahaja mengganggu dan mengancam keselamatan penduduk tetapi dikhuatiri dijangkiti wabak rabies.

“Kita sedia maklum bahawa Sarawak masih dilanda wabak ini dan kita tidak mahu kehadiran anjing liar di sini menyumbang kepada permasalahan tersebut.

“Justeru, kita berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kesihatan dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah anjing liar di sini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Datuk Peter Minos ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segara berhubung aduan tersebut.

“Saya akan arahkan kakitangan MPKS memeriksa dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita amat perlu maklum balas dan maklumat serta aduan daripada orang awam terutama penduduk di bawah seliaan MPKS,” katanya.