Anda di sini

GPS landasan terbaik untuk rakyat Sarawak

Advertisement
 Henry (tengah), Awangku Jinal (lima kiri) bersama melaungkan semangat GPS di Dataran Bandar Lawas semalam.
UTAMAKAN SARAWAK: Henry (tengah), Awangku Jinal (lima kiri) bersama melaungkan semangat GPS di Dataran Bandar Lawas semalam.

LAWAS: Gabungan Parti Sarawak (GPS) satu landasan terbaik dalam memastikan hak dan keperluan rakyat Sarawak terus diperjuangkan.

Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong berkata, misi utama GPS adalah untuk mendapatkan semula hak Sarawak dan terus terpelihara sepanjang masa.

Malah, kepimpinan negeri ini diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa memikirkan yang terbaik untuk negeri dan rakyat Sarawak.

“Seluruh rakyat Sarawak termasuk di Lawas perlu berjuang habis-habisan bersama GPS dalam mendepani cabaran semasa,” katanya pada Majlis Pelepasan Jelajah Bendera GPS Majlis Tertinggi Pemuda dan Wanita GPS anjuran Pergerakan Pemuda dan Wanita GPS di Dataran Bandar Lawas semalam.

Lawas menjadi destinasi pertama pengenalan pertubuhan politik anak tempatan itu.

Pengenalan logo dan lagu GPS dilaksanakan menerusi siri jelajah di seluruh negeri selain penyerahan bendera turut berlangsung.

Selain Lawas, rombongan jelajah turut berkunjung ke Limbang, Miri, Bintulu, Mukah, Selangau, Sibu, Kapit, Sarikei, Betong, Sri Aman, Balai Ringin, Serian, Siburan, Bau, Lundu, Asajaya dan akhirnya di Sadong Jaya.

Turut sama ketua konvoi yang juga Ketua Pemuda GPS Gerald Rentap Jabu, Ketua Publisiti Program Datuk Sebastian Ting, Timbalan Ketua PBB Bukit Sari Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa bersama ketua-ketua pergerakan pemuda dan wanita parti-parti komponen GPS iaitu PBB, SUPP, PDP dan PRS.

Advertisement