Anda di sini

Dr Annuar kongsi pengalaman bersama Tok Nan

 Dr Annuar (kiri) bersama Allahyarham Tok Nan dan bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Allahyarham Datuk Daud Abdul Rahman pada lawatan ke Masjid Darul Halim, Kampung Bahagia Jaya Teku pada 7 Februari 2015.
KENANGAN: Dr Annuar (kiri) bersama Allahyarham Tok Nan dan bekas Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Allahyarham Datuk Daud Abdul Rahman pada lawatan ke Masjid Darul Halim, Kampung Bahagia Jaya Teku pada 7 Februari 2015.
 Kakitangan KTS bersama Allahyarham Tok Nan pada Majlis Perjumpaan Kakitangan Kumpulan KTS Bersama Ketua Menteri pada 8 April 2016.
DALAM INGATAN: Kakitangan KTS bersama Allahyarham Tok Nan pada Majlis Perjumpaan Kakitangan Kumpulan KTS Bersama Ketua Menteri pada 8 April 2016.

SIBU: 11 Januari 2017 adalah tarikh penuh duka buat rakyat Sarawak apabila seorang pemimpin berjiwa rakyat dan Ketua Menteri kelima Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem pergi dijemput penciptanya.

Semalam genap dua tahun usia pemergiannya, namun jasa, pengorbanan dan perjuangannya untuk rakyat Sarawak terus dikenang sehingga kini.

Untuk itu, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee menulis satu catatan khas buat pemimpin mesra dengan panggilan Tok Nan itu di laman Facebooknya, semalam.

Dr Annuar dalam catatannya berkata, pemergian Allahyarham mengejutkan semua orang dan bukan sahaja satu kehilangan tiba-tiba tetapi terlalu awal dalam keadaan rakyat masih mendambakan kepimpinannya.

“Masih banyak yang kami perlu daripada kamu untuk mengajar kami tentang kejujuran perjalanan kami memperjuang hak kita (Sarawak) dalam Persekutuan Malaysia, sebuah negara dibangunkan bersama dan dibentuk pada 1963,” katanya.

Selain itu, semasa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Dr Annuar menyifatkan Allahyarham Tok Nan sebagai idola dan mentornya serta seorang pemimpin disegani.

“Kamu mengajar saya menjadi seorang pemidato yang fasih dan menunjukkan saya cara menyuarakan keperluan rakyat.

“Anda memberitahu kami agar tidak teragak-agak atau takut sedikit pun bersuara untuk rakyat kerana seperti yang lain, anda dipilih oleh rakyat berada di ‘August House’.

“Kecerdasan dan kebijaksanaan kamu sangat hebat dan tidak dapat diatasi, tajam dan padu,” kata Dr Annuar.

Dr Annuar dalam catatannya juga meluahkan rasa bangga kerana diberi peluang berada dalam pasukan dinamakan Adenan Team.

Menurutnya, ia mendorong dan membawa beliau lebih menyayangi dan bekerja keras untuk Sarawak.

“Anda membentuk kami menjadi pemimpin bertanggungjawab dan komited membina Sarawak bersatu, harmoni dan progresif.

“Satu ucapan terima kasih tidak cukup untuk menggambarkan betapa besarnya jasa kamu membimbing, memberi kepercayaan dan nasihat memotivasikan kami menjadi wakil rakyat yang baik.

“Saya terus menghargai kepimpinan kamu yang berkarisma dan altruistik serta menterjemahkannya kepada kerja keras berkhidmat kepada rakyat, manfaat terus berguna sehingga ke generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Dr Annuar turut berkongsi beberapa keping gambar kenangan bersama Allahyarham Tok Nan dalam laman akaun Facebooknya.