Anda di sini

Davies bersyukur rezeki peluang sertai kelab elit

Advertisement
DAVIES
DAVIES

DOHA: Dilahirkan di sebuah kem pelarian Afrika, menjadi pemain antarabangsa Kanada pada usia 16 tahun, dan sekarang pemain Bayern Munich pada usia hanya 18 tahun sahaja, kehidupan Alphonso Davies sudah pun kedengaran seperti sebuah skrip filem.

“Ia umpama sesuatu daripada filem,” akui Bob Lenarduzzi, presiden kelab Vancouver Whitecaps, yang merujuk kepada remaja berbakat itu yang dilaporkan dibeli dengan harga AS$13 juta (RM52 juta) oleh Bayern – bayaran perpindahan tertinggi dalam sejarah bagi seorang pemain Liga Bola Sepak Utama (MLS).

Pemain Kanada itu secara rasmi menjadi pemain Bayern pada 1 Januari, dan masih memicit diri selepas dia berlatih bersama wira-wiranya di kem latihan musim salji kelab di Doha.

“Ketika saya lebih muda, saya akan menonton pemain ini di TV dan bermain dengan mereka dalam FIFA (permainan video bola sepak) – sekarang saya berjumpa dengan mereka dalam kehidupan sebenar, bermain di sisi mereka dan menentang mereka,” katanya.

“Ketika saya memasuki bilik persalinan buat pertama kali, orang pertama yang saya lihat adalah (Arjen) Robben dan saya tidak dapat percaya ia adalah dia – saya seperti ‘wow’.”

Segalanya berbeza sekali daripada keadaan pada waktu penyerang lincah itu pertama kali muncul di dunia.

Davies dilahirkan pada awal abad ini di sebuah kem pelarian di Ghana, di mana dia menghabiskan empat tahun pertama kehidupannya, selepas ibu bapanya lari daripada perang saudara di Liberia.

“Apabila kami pergi untuk mendapatkan makanan kami, kami terpaksa melangkah mayat,” menurut ibu Davies, Victoria, dalam rujukan suram kepada kehidupan di kem tersebut.

Untuk lari daripada kekotoran itu, ibu bapanya berhijrah ke Kanada, mula-mula ke Windsor, Ontario, kemudian ke Edmonton, Alberta.

Di negara di mana hoki ais adalah raja, Davies mula menunjukkan potensi tinggi dengan bola sepak dalam perlawanan selepas sekolah di sekolah rendah dan bakatnya dikesan dengan cepat.

“Budak itu adalah anugerah kepada sukan bola sepak,” imbau Tim Adams, pengas liga selepas sekolah ‘Free Footie’ di mana Davies mula-mula menonjol.

Craig Dalrymple, bekas jurulatihnya di Vancouver, membandingkan Davies dengan bintang remaja Perancis, Kylian Mbappe, “di atas tenaga dan kelajuannya”, tetapi pemuda itu mengakui Lionel Messi adalah idolanya.

Dia mungkin akan membuat penampilan sulung dalam Bundesliga apabila juara bertahan itu beraksi semula di Hoffenheim pada 18 Januari, dengan Bayern di tempat kedua dalam carta liga dan ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Dortmund. — AFP

Advertisement