Anda di sini

Datang ke Malaysia, dapatkan gambaran jelas: Kok

Advertisement
 Teresa Kok (tengah) menunjukkan kuih donut yang telah di goreng menggunakan minyat sawit pada program memasak dan forum kesihatan ‘Love My Palm Oil’ ketika mengadakan lawatan ke Felda Sungai Koyan, semalam. — Gambar Bernama
BERKUALITI: Teresa Kok (tengah) menunjukkan kuih donut yang telah di goreng menggunakan minyat sawit pada program memasak dan forum kesihatan ‘Love My Palm Oil’ ketika mengadakan lawatan ke Felda Sungai Koyan, semalam. — Gambar Bernama

LIPIS: Kementerian Industri Utama bersedia menjemput dan berbincang dengan penulis laporan artikel berat sebelah yang diterbitkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap produk-produk sawit, untuk datang ke negara ini.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata tindakan itu perlu dilakukan antara pihak WHO dan saintis serta penyelidik negara yang telah membuat kajian tersebut bagi mendapatkan hasil kajian dan gambaran yang lebih jelas.

“Penyelidik yang mengeluarkan kenyataan di WHO tidak mendapat gambaran sebenar mengenai sawit. Seharusnya mereka ada perbincangan antara nutrisi minyak atau minyak sawit MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) dan universiti tempatan.

“Saya rasa orang Barat, pakar sama ada perubatan atau alam sekitar, serta ahli politik, ramai yang keluarkan kritikan terhadap minyak sawit ini kerana mereka mendengar cerita daripada sebelah pihak. Malah ramai antara mereka tidak pernah datang atau tahu keadaan di Asia Tenggara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program memasak dan forum kesihatan ‘Love MY Palm Oil’ di Inap Desa & Restoran Hajj di Felda Sungai Koyan 3 dekat sini kelmarin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Datuk Dr Kalyana Sundram.

Teresa berkata laporan tersebut disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak profesional kerana merosakkan imej dan reputasi minyak sawit tanpa memetik kajian daripada autoriti lain.

Malah, katanya banyak hasil kajian membuktikan minyak sawit adalah minyak yang sihat berbanding minyak masak lain.

“Bagi saya ini taktik untuk memburukkan imej dan kualiti, dan antara sumbangan kepada Kesatuan Eropah (EU) yang cuba melarang import minyak sawit ke pasaran mereka.

Justeru, Teresa turut menyeru saintis dan penyelidik di negara ini supaya tampil memberi kenyataan dan laporan kajian mereka mengenai industri kelapa sawit negara.

“Kita mempunyai ramai warga Malaysia yang banyak membuat kajian. Jadi, mereka patut menjalin kerjasama bersama kementerian bagi menyebarluaskan kebaikan sawit.

Sebelum ini, MPOC membidas dakwaan WHO, kononnya industri kelapa sawit menggunakan taktik yang sama dengan industri tembakau dan alkohol bagi mempengaruhi penyelidikan ke atas kesan kesihatan terhadap produk-produk sawit. — Bernama

Advertisement