Anda di sini

Dadah terus dibanteras

Advertisement
 Polis membawa dua suspek wanita untuk ditahan di lokap.
DITANGKAP: Polis membawa dua suspek wanita untuk ditahan di lokap.

MIRI: Dadah bernilai kira-kira RM120,000 dirampas dalam satu serbuan ke atas sebuah kondominium mewah di Tanjung Lobang di sini, awal pagi semalam.

Dalam serbuan itu, seorang wanita warga China antara yang ditangkap bersama dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, tangkapan dibuat sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri kira-kira jam 2.25 pagi.

“Dalam serbuan itu, polis telah menahan dua lelaki warga tempatan, seorang wanita warga asing iaitu dari China dan seorang wanita warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan telah merampas dadah dianggarkan bernilai RM120,000,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Lim berkata, kesemua rampasan dijadikan barang kes dan suspek dibawa ke pejabat BSJN IPD Miri untuk siasatan lanjut.

“Antara yang dirampas ialah sembilan peket plastik lutsinar masing-masing berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat kasar 831 gram, 86 peket plastik berwarna merah masing-masing berisi serbuk dadah disyaki ekstasi (1,111.18 gram), 17 papan kerajang berwarna merah berisi 170 biji pil yang disyaki dadah jenis Nimetazepam (47.32 gram).

“Turut dirampas ialah 90 peket plastik berwarna ungu masing-masing berisi serbuk dadah disyaki ekstasi (1,124.52 gram), lapan peket plastik berwarna hitam masing-masing serbuk disyaki dadah jenis ekstasi (63 gram), satu peket plastik lutsinar mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis Ketamin (63.71 gram).

“Manakala, satu peket plastik lutsinar mengandungi serbuk berwarna oren disyaki dadah jenis ekstasi (60.97 gram), satu unit alat perekat plastik dan satu unit alat penimbang digital juga dirampas,” jelasnya.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“IPD Miri merakamkan penghargaan atas kerjasama serta maklumat daripada orang awam. Semoga kerjasama ini berterusan,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement