Anda di sini

Cubaan seludup anak buaya guna kurier gagal

Advertisement
Anak buaya yang masih hidup dikesan dalam bungkusan didakwa mengandung ikan beku.

SIBU: Cubaan menyeludup lima ekor anak buaya ke luar negeri ini melalui perkhidmatan kurier berjaya dikesan oleh unit Kargo Malaysia Airport Berhad (MAB).

Menurut pengurus perkhidmatan kurier yang enggan nama disiarkan, seorang pelanggan lelaki datang ke syarikat itu untuk mengirim dua buah kotak yang didakwa mengandungi ikan beku pada 2 Januari lepas.

"Semasa imbasan dilakukan, didapati bungkusan tersebut mengandungi lima ekor anak buaya yang masih hidup. Ini menyebabkan penghantaran itu terpaksa ditolak oleh penguatkuasaan," katanya kepada Utusan Borneo.

Katanya, kotak tersebut dituju ke satu alamat di Kuala Lumpur.

Bungkusan tersebut kemudian dikembalikan oleh Unit Kargo MAB kepada pihak syarikat dimana usaha untuk menghubungi individu yang menyerahkan bungkusan itu gagal sehingga Khamis lalu.

"Saya percaya semua butiran penghantar dan penerima bungkusan itu termasuk alamat dan nombor telefon adalah palsu," jelasnya.

Rakaman mesin pengimbas menunjukkan buaya dalam bungkusan

Beliau juga telah cuba berkali-kali untuk menghubungi lelaki (penghantar) bungkusan itu namun gagal.

Bimbang, anak buaya tersebut akan mati selepas disimpan sembilan hari di pejabat, pengurus syarikat berkenaan bertindak menghubungi pegawai Hidupan Liar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk penyerahan pada pukul 10.00 pagi Jumaat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata pihaknya telah menerima laporan berhubung kes itu dan kes dirujuk kepada Jabatan Hutan untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC) Oswald Braken Tisen ketika dihubungi hari ini berkata mereka akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kes tersebut dalam masa terdekat.

"Buaya merupakan spesies yang tersenarai di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998," katanya.

Denda maksimum sebanyak RM10,000 dikenakan jika didapait bersalah memburu, membunuh, menyimpan, menjual atau membeli haiwan dilindungi.

Bagaimanapun, buaya di Sarawak kini tersenarai di bawah Appendiks II Konvensyen Antarabangsa (CITES) yang membolehkan penakaian buaya secara mampan  untuk perdagangan yang berlesen atau permit diperolehi dari pihak berkuasa berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement