Anda di sini

Buktikan kualiti, kemampuan dahulu

Advertisement
 (Dari kiri) Ronald, Rian dan Muamer semasa diperkenalkan di Stadium Negeri semalam.
SEDIA: (Dari kiri) Ronald, Rian dan Muamer semasa diperkenalkan di Stadium Negeri semalam.

KUCHING: Sarawak berminat untuk menambat pemain dari negara Latin bagi melengkapkan kuota empat pemain import pada saingan Liga Premier musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais berkata pihaknya telah mengenal pasti pemain kelahiran Argentina yang pernah beraksi di Liga Ukraine bagi mengisi kekosongan itu.

“Kita telah mengikat tiga pemain import setakat ini iaitu Muamer Salibasic (Bosnia), Ronald Hikspoors (Belanda) dan Rian Nugraha Yukandi (Indonesia).

“Seorang lagi pemain telah kita kenal pasti dan beliau yang berasal dari Argentina mungkin menjadi pemain import keempat kita,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Bagaimanapun, Posa memberitahu pemain itu hanya akan diambil jika berjaya menunjukkan kualiti dan kemampuan dalam tiga aksi persahabatan di Semenanjung Malaysia bermula 17 Januari ini.

Mengenai tiga pemain import yang telah ditambat, beliau percaya ketiga-tiga mereka terutamanya penyerang, Muamer (Salibasic) dapat membantu Sarawak memburu kejayaan musim ini.

Muamer, 34, tidak perlu diperkenalkan dan cukup popular kalangan peminat di sini selepas membantu Sarawak menjuarai Liga Premier pada 2013.

Ronald, 30, yang beraksi di posisi pertahanan menyertai Sarawak pada 2014 hingga 2016 manakala Rian, 20, bermain di posisi tengah dan berasal dari Indonesia.

Sementara itu, Posa memberitahu pihaknya akan memuktamadkan senarai 25 pemain skuad itu selepas aksi persahabatan di Semenanjung Malaysia.

Katanya, skuad baharu juga akan diperkenalkan dalam satu majlis pada 26 Januari ini namun venue belum ditetapkan.

Sarawak dijadualkan menentang dua pasukan Liga Premier dalam aksi persahabatan iaitu Selangor United di Wisma FAM pada 17 Januari ini, disusuli dengan perlawanan menentang PDRM di Pulapol pada 19 Januari.

Mereka akan menamatkan kempen pramusim menentang pasukan Liga Super, Melaka United pada 21 Januari.

Saingan Liga Premier 2019 akan disingkap tirainya pada 2 Februari depan.

  • oleh
  • Advertisement