Anda di sini

Bayi kritikal didera pengasuh disahkan mati otak

Advertisement
Aariz Harraz Zahin Azman

SIBU: Bayi berumur sembilan bulan yang dalam kritikal selepas didera seorang pengasuh di Jalan Permaijaya pada Isnin disahkan mati otak.

Bagaimanapun, ibu bapa kepada Aariz Harraz Zahin Azman, belum bersedia menerima pemergian anak mereka.

Ketua Polis Daerah Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pihak Hospital Sibu mengenai perkembangan terkini bayi tersebut hari ini.

"Keputusan hasil ujian ke atas otak mangsa (bayi) untuk kali kedua masih kekal sama (kematian otak) pada pukul 9.10 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pengadu dan isterinya hari ini masih belum bersedia untuk menghentikan mesin alat sokongan hayat.

"Pihak hospital telah bersetuju dengan pasangan suami isteri itu untuk menghentikannya pada keesokan hari. 

"Jika denyutan jantung mangsa berhenti secara tiba-tiba hari ini, bantuan CPR (penafasan) tidak akan dibuat," katanya ketika diminta mengulas perkembangan bayi itu .

Aariz menerima rawatan di Unit Penjagaan Rapi Hospital Sibu sejak 7 Januari lalu setelah koma apabila dipercayai menjadi mangsa dera oleh pengasuh berusia 39 tahun.

Suspek yang tidak mempunyai lesen untuk membuka pusat asuhan kini ditahan reman untuk membantu siasatan.

Tindakan pengasuh tersebut terus menimbulkan kemarahan netizen selepas polis menerima laporan kedua, setelah seorang lagi ibu mendakwa anaknya berumur satu tahun lima bulan patah gigi depan dan terdapat kecederaan pada gusi mangsa semasa mengambil anak dari rumah pengasuh sama pada 8 Januari.

Kes tersebut yang disiasat di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dijangka diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
 

  • oleh
  • Advertisement