Anda di sini

Barty melangkah ke aksi final Sydney International

 Barty ketika menentang Kiki Bertens pada separuh akhir kejohanan Sydney International di Sydney. — Gambar AFP
BERSEDIA: Barty ketika menentang Kiki Bertens pada separuh akhir kejohanan Sydney International di Sydney. — Gambar AFP

SYDNEY: Ashleigh Barty dari Australia menang ke atas seorang lagi pemain dalam kelompok 10 teratas untuk mara ke peringkat akhir kejohanan tenis Sydney International semalam untuk menyertai Terbuka Australia sebagai salah seorang pemain yang sedang bermain dengan cemerlang.

Pemain berusia 22 tahun itu sedang bermain dengan hebat untuk melanjutkan siri tanpa kalanya kepada tujuh perlawanan bermula dengan kejuaraan terbesar dalam kariernya di Trofi Elit WTA di Zhuhai.

Dia terpaksa menggunakan segala kemahirannya untuk mengatasi pemain nombor sembilan dunia dan pemain pilihan ketujuh Kiki Bertens (6-7 (4/7), 6-4, 7-5) dan akan menentang sama ada juara 2015 Petra Kvitova atau pemain layak dari Belarusia, Aliaksandra Sasnovich, dalam perlawanan akhir.

“Ia menakjubkan. Ya benar-benar minggu tenis yang hebat,” kata Barty, pemain ranking ke-15 yang turut mara ke final pada tahun lepas.

“Saya rasa saya bermain hebat sepanjang minggu dan mempunyai lawan lawan yang sukar pada setiap pusingan dan saya amat teruja untuk mendapat peluang lagi bagi memenangi kejuaraan ini.”

Barty sudah pun menewaskan pemain nombor satu dunia Simona Halep dan bekas juara Terbuka Perancis Jelena Ostapenko sebelum dia mengalahkan pemain pilihan ke-10 dari Belgium Elise Mertens pada peringkat suku akhir.

Dia memulakan perlawanan dengan kelebihan selepas dua kali menewaskan Bertens, bintang Belanda, sebelum ini, termasuk pada Ogos lalu di Montreal. — AFP