Anda di sini

ATA landasan terbaik promosi Sarawak, Kuching

 Abdul Karim (tengah) bersama (dari kiri) Koh, Lee, Hii dan Sim mempromosikan Anugerah Televisyen Asia Ke-23.
TUAN RUMAH: Abdul Karim (tengah) bersama (dari kiri) Koh, Lee, Hii dan Sim mempromosikan Anugerah Televisyen Asia Ke-23.

KUCHING: Pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah penganjuran Anugerah Televisyen Asia (ATA) Ke-23 yang julung kalinya, landasan terbaik dalam usaha mempromosikan negeri ini dan bandar raya Kuching khasnya di mata dunia.

Menteri Pelancongan, Ke-senian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dengan penglibatan negara-negara Asia dan akan disiarkan secara langsung di 22 negara di seluruh Asia, sudah pasti ia mampu memperkenalkan Sarawak dan bandar raya Kuching khasnya di rantau Asia.

“Saya dimaklumkan ATA ini akan disiarkan secara langsung di 22 negara di seluruh Asia dengan seramai 500 juta isi rumah akan menyaksi-kannya berdasarkan kepada statitistik yang direkodkan semasa penganjuran ATA di Singapura pada 2017.

“Justeru, kita berasakan bahawa dengan penganjuran ATA di sini, ia sudah pasti menjadi penggalak utama kepada sektor pelanco-ngan negeri sejajar dengan Kempen Melawat Sarawak 2019,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di sini semalam.

Malam penghargaan ATA ke-23 dan permaidani merah berlangsung pada hari ini yang akan menampilkan sehingga 60 selebriti terkenal dari negara-negara Asia termasuk Maylada Susri dan Ananda Everingham dari Thailand di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Sebanyak 42 kategori akan dipertandingkan di mana ATA ini bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dalam penghasilan dan prestasi kese-        luruhan sesebuah karya.

Malah, barisan calon-calon tersohor Asia untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik seperti Cheng Rexen dalam ‘Schrodinger’s Cat’ dan Jirayu Tantrakul dalam ‘Kom Faek’(The Lost Art) serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Kim Nam Joo dalam ‘Misty’ dan Sinjai Plengpanich dalam ‘Sri Ayodhaya’ akan berjalan di atas permaidani merah di ATA Ke-23.

Pelbagai syarikat penyiar termasuk stesen TV bebas-ke-udara, platform pay-tv, perkhidmatan penstriman digital serta studio produksi pengeluaran bebas di Asia menyertai edisi kali ini.

Pada tahun ini, ATA akan dihoskan oleh penyanyi dan pengacara terkenal Wallace Ang, bekas VJ MTV Asia, May Wan dan Choy Wan serta Adrian Jalaludin yang telah bertapak dalam industri hiburan Malaysia selama lebih daripada satu dekad sebagai pengacara TV dalam bidang sukan, pengembaraan dan rancangan bual bicara.

Mereka juga akan bergan-ding bersama Mark Zambrano yang merupakan penyampai berita senior/koresponden sukan untuk Berita Filipina & Hal Ehwal Awam Filipina.

Sehubungan itu, Abdul Karim berkata, kerajaan amat mengalu-alukan acara berprestij ini kerana ia bakal merancakkan lagi sektor pelancongan negeri sejajar dengan Kempen Tahun Me-lawat Sarawak 2019.

Pada masa sama katanya, acara itu dapat memperkenal-kan Sarawak yang memiliki kepelbagaian kaum dan ke-indahan alam semula jadi di mata dunia.

Sementara itu, Pengerusi ATV Awards Sdn Bhd Lee Keen Whye menyuarakan rasa gembira atas sokongan yang  diberikan Kerajaan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak untuk menjayakan acara itu nanti.

Menurutnya, ATA diadakan sejak 1996 sebagai mengiktiraf rancangan televisyen terbaik dalam industri penyiaran sama ada di hadapan kamera atau di sebalik tadbir.

“Untuk kali ini, ATA yang diadakan di Kuching telah menerima penyertaan daripada 49 penyiar dan syarikat produksi daripada 14 negara dan kini dalam proses pemilihan oleh 58 hakim yang dilantik,” katanya.

Bagi merancakkan lagi acara tersebut, ATA Ke-23 akan dihoskan dua selebriti terkenal iaitu Choy Wan dan Adrian Jalaluddin,” tambah beliau.

Selain daripada acara tersebut katanya, pihaknya turut akan menganjurkan konsert kepada orang awam di Panggung Udara, Jalan Budaya di sini pada 13 Januari ini.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Hii Chang Kee, Pengarah Program Koh Jik Seng dan Penasihat Program Sim Kiang Chiok.

ATA telah mengumumkan senarai finalis bagi setiap kategori di platform media sosialnya dan laman web rasmi https://www.asiantvawards.com.

Peserta ATA terdahulu merangkumi 200 saluran di seluruh Asia seperti KBS, NHK, HBO, CNN, Bloomberg, BBC, AL-JAZEERA, TV18, Discovery Networks, Imagine Group, Viacom International Media Networks, Astro, Media Prima, Pt Televisi Indonesia, Mediacorpp, CGTN, PCCW, Formosa, ABS-CBN, BBTV, SMG dan lain-lain. Untuk maklumat terkini, sila ikuti @Asiantvawards.