Anda di sini

Allahyarham Bakhtiar alami sesak nafas, muntah: Isteri

Advertisement
 Reaksi sugul dua anak Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Fitri Al-Amin Bakhtiar, 21, (dua kiri) bersama abangnya Fakhrol Alma, 24,(kiri) di pusara ayahnya Bakhtiar Mohd Nor di Tanah Perkuburan Kampung Pasir, dekat Smenyih, semalam. — Gambar Bernama
SEDIH: Reaksi sugul dua anak Allahyarham Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Fitri Al-Amin Bakhtiar, 21, (dua kiri) bersama abangnya Fakhrol Alma, 24,(kiri) di pusara ayahnya Bakhtiar Mohd Nor di Tanah Perkuburan Kampung Pasir, dekat Smenyih, semalam. — Gambar Bernama

SEMENYIH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal dunia awal pagi semalam akibat serangan jantung, turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Isteri Allahyarham, Basirah Sardiq Muhammad, 49, berkata suaminya turut mengalami komplikasi buah pinggang sejak dua tahun lepas.

Menceritakan detik-detik akhir bersama suaminya, Basirah berkata suaminya terjaga daripada tidur dan mengadu mengalami sesak nafas pada kira-kira jam 3 pagi semalam, sejam selepas pulang daripada mengikuti aktiviti di surau berdekatan.

“Pukul 3 lebih dia bangun pergi bilik air dan muntah, Yang Berhormat (YB) cakap dia sesak nafas, dia tak boleh bernafas dan suruh kejutkan anak lelaki hantar ke hospital,” katanya.

Basirah berkata setibanya di Hospital Kajang keadaan Allahyarham bertambah lemah dan doktor yang merawatnya turut memberikan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.45 pagi.

Beliau yang tidak dapat mengawal perasaan menyifatkan suaminya itu seorang yang sangat penyayang dan baik.

“YB seorang yang baik, baik sangat-sangat… YB seorang yang sangat penyayang, YB baharu dapat cucu sulung,” katanya.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali yang turut menziarahi jenazah mengucapkan takziah atas pemergian Allahyarham yang disifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Setiausaha Politik kepada perdana menteri, Abu Bakar Yahya turut hadir menziarahi jenazah serta menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham.

“Saya hadir ke sini mewakili Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyampaikan ucapan takziah dan sedikit sumbangan bagi memudahkan urusan keluarga,” katanya.

Turut menziarahi jenazah ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan beberapa Exco kerajaan negeri. Allahyarham meninggalkan dua anak perempuan dan tiga anak lelaki berumur antara 9 hingga 29 tahun.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir dekat sini selepas solat Jumaat. — Bernama

Advertisement