Anda di sini

200 ibu bapa murid SK Ibnu Khaldun sertai aktiviti hias kelas

 Ibu bapa yang hadir bersama merakam kenangan semasa Program Gotong-Royong Perdana SK Ibnu Khaldun.
SEMANGAT: Ibu bapa yang hadir bersama merakam kenangan semasa Program Gotong-Royong Perdana SK Ibnu Khaldun.
 Rozalix (kiri) dan Rosli melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang hadir membantu menjayakan gotong-royong.
TERBAIK: Rozalix (kiri) dan Rosli melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang hadir membantu menjayakan gotong-royong.
 Sebahagian daripada ibu bapa yang turut membantu mengecat dinding kelas agar kelihatan baharu.
BAHARU: Sebahagian daripada ibu bapa yang turut membantu mengecat dinding kelas agar kelihatan baharu.
 Para ibu turut serta menghias kelas di sekolah sempena gotong-royong perdana.
DEMI ANAK: Para ibu turut serta menghias kelas di sekolah sempena gotong-royong perdana.

PROGRAM Gotong-Royong Perdana SK Ibnu Khaldun yang diadakan di Kota Samarahan, baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa serta warga sekolah.

Program bermula awal pagi disertai kira-kira 200 ibu bapa murid yang masing-masing bersemangat untuk menceriakan kelas anak mereka.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah Datuk Rozalix Edi Wahab, program seperti itu amat bermakna kerana ia bukan sahaja menceriakan kelas tetapi memupuk kerjasama semua yang terlibat.

“Program seumpama ini pastinya mengeratkan silaturahim antara ibu bapa dan warga sekolah.

“Selain itu ia memupuk kerjasama antara sekolah dan ibu bapa anak-anak,” katanya semasa program berlangsung.

Sementara Guru Besar SK Ibnu Khaldun Rosli Terhim pula melahirkan penghargaan atas sokongan ibu bapa yang bersama-sama menyokong gotong-royong perdana.

Menurut beliau ia merupakan acara tahunan anjuran PIBG dan pihak sekolah demi menceriakan kelas anak masing-masing.

Bukan itu sahaja malahan ibu bapa yang terlibat turut membawa makanan masing-masing demi memeriahkan dan pergaulan sesama mereka semasa program berlangsung.