Anda di sini

Vinicius inspirasi kemenangan Real Madrid ke atas Leganes

Advertisement
 Vinicius (depan) meraikan jaringannya ketika membantu Real menewaskan Leganes pada perlawanan peringkat 16 terakhir Copa del Rey di Santiago Bernabeu, Madrid Rabu  lepas.  — Gambar Reuters
PRESTASI HEBAT: Vinicius (depan) meraikan jaringannya ketika membantu Real menewaskan Leganes pada perlawanan peringkat 16 terakhir Copa del Rey di Santiago Bernabeu, Madrid Rabu lepas. — Gambar Reuters

GIRONA, Sepanyol: Vinicius Junior menyerlah untuk membantu Real Madrid menang 3-0 ke atas Leganes, sekali gus meletakkan mereka diambang kemaraan ke suku akhir Copa del Rey Rabu lepas.

Vinicius, pemain berusia 18 tahun yang dibeli oleh Real Madrid pada musim panas lalu, melengkapkan aksi cemerlang di Santiago Bernabeu dengan gol cantik untuk gol ketiga Real Madrid.

Ketika itu, Sergio Ramos menyempurnakan satu tendangan penalti dalam separuh masa pertama dan gol kedua dijaringkan Lucas Vazquez untuk memberikan kemenangan yang pertama Real pada tahun baharu ini.

Ia memerlukan kebangkitan luar biasa Leganes untuk mengubah keputusan pada perlawanan kedua tetapi apa yang lebih penting, jurulatih Real, Santiago Solari menemui kembali rentak selepas mengharungi dua perlawanan La Liga tanpa kemenangan sejak pertukaran tahun.

Penyokong Real mencemuh pasukan mereka sendiri Ahad lepas ekoran kekalahan di Real Sociedad tetapi mereka mendapat peluang menyaksikan kemunculan sulung Brahim Diaz, yang dibeli dari Manchester City apabila pemain berusia 19 tahun itu dimasukkan sebagai pemain gantian.

Vinicius bagaimanapun mencuri tumpuan apabila sentiasa mengancam pertahanan Leganes ketika membawa bola.

“Beliau mengambil langkah yang besar,” kata Solari selepas itu. “Beliau sentiasa mempunyai keupayaan tetapi untuk berkembang dan menunjukkannya kepada penyokong di Bernabeu, bersama-sama dengan begitu ramai pemain berkata di sini, ia menunjukkan tentang keberanian dan keyakinan beliau.”

Vinicius menjadi fokus perhatian minggu lepas selepas dinafikan satu tendangan penalti kontroversi dalam separuh masa kedua ketika Real Sociedad mencipta kemenangan mengejut.

Real bagaimanapun mendapat bantuan kali ini apabila Alvaro Odriozola terjatuh ketika dicabar Gerard Gumbau, membolehkan Ramos menyempurnakan tendangan penalti untuk gol pembukaan.

Leganes bermula dengan baik dan boleh membuka jaringan sebelum gol Ramos.

Real menambah jaringan dalam separuh masa kedua apabila Vazquez menyempurnakan umpanan Vinicius, yang melengkapkan hari cemerlang dengan gol ketiga Real dengan satu rembatan cantik.

Pada perlawanan lain, Antoine Griezmann membantu Atletico Madrid menghampiri kelayakan ke suku akhir apabila menjaringkan gol penting ketika seri 1-1 di Girona.

Griezmann membuka jaringan pada awal permainan tetapi Girona mengikat kedudukan sebelum rehat menerusi gol Anthony Lozano. — AFP

Advertisement