Anda di sini

Tok Nan - meskipun jasadnya tiada lagi, jasa dan pengorbanannya masih segar

 27 Januari 1944 - 11 Januari 2017
KENANGAN: 27 Januari 1944 - 11 Januari 2017

KUCHING: Meskipun jasadnya tiada lagi bersama kita, jasa dan pengorbanannya masih dikenang sehingga kini oleh warga Sarawak. Itulah Pehin Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak yang kelima, yang meninggal dunia pada 11 Januari 2017. 

Ketika hayat, Allahyarham amat disegani semua lapisan masyarakat. Seorang yang bijaksana dan matang dalam politik.

Hari ini, genap dua tahun Allahyarham Tok Nan meninggalkan kita. Warga Sarawak begitu sayang akan Allahyarham meskipun begitu singkat masanya mengetuai kabinet Sarawak.

Seluruh warga Sarawak agak terkejut dan sukar mempercayai berita yang disebarkan menerusi media pada petang Allahyarham meninggal dunia.

Media sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter dan Instagram masing-masing menjadi medan meluahkan kesedihan mereka apabila Tok Nan menghembuskan nafas terakhir di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Semua warga Sarawak meratap pemergian Allahyarham yang amat dikenali sebagai pemimpin yang sungguh prihatin dengan rintihan rakyat. Beliau amat disayangi.

Polisi dan tindakannya ketika mengemudi kerajaan negeri bermula 1 Mac 2014 sehinggalah akhir riwayatnya, begitu disenangi rakyat.

Antara yang begitu menyemarakkan semangat anak Sarawak ialah perjuangan menuntut semula hak-hak negeri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada kerajaan persekutuan.

Beliau juga berusaha membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan memberi contoh terbaik apabila Kabinet Negeri pada 15 Januari 2015 menandatangani Ikrar Integriti diketuainya sendiri. Kerajaan negeri yang pertama berbuat demikian.

Dalam usaha meringankan beban rakyat, Tok Nan menurunkan tarif elektrik domestik sehingga 47 peratus dan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2015.

Kutipan tol di jambatan-jambatan dihapuskan, juga bagi meringankan beban rakyat.

Itu antara polisi dan tindakannya yang amat dihargai oleh warga Sarawak.

Sokongan padu rakyat di Sarawak terhadap perjuangan Tok Nan dibuktikan menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 pada 7 Mei 2016.

BN di bawah pimpinan Allahyarham menang besar dengan menguasai 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Kemenangan itu adalah mandat dan kepercayaan rakyat kepada Tok Nan dan 'Team Adenan' - satu gelaran popular digunakannya menjelang pilihan raya tersebut.

BN melepasi sasaran menang 70 kerusi yang disasarkan sebelum itu.

Tok Nan meninggal dunia pada usia 72 tahun.