Anda di sini

Tiga maut selepas polis lerai demonstrasi antikerajaan di Sudan

Advertisement
 Bashir melambai kepada penyokongnya di satu perhimpunan di Dataran Hijau                 di Khartoum, Sudan pada Rabu. — Gambar Reuters
BERPENGARUH: Bashir melambai kepada penyokongnya di satu perhimpunan di Dataran Hijau di Khartoum, Sudan pada Rabu. — Gambar Reuters

KHARTOUM: Tiga penunjuk perasaan maut selepas polis meleraikan demonstrasi antikerajaan di Sudan, kata polis pada Khamis, manakala ribuan melaungkan sokongan bagi Presiden Omar al-Bashir di satu rapat umum lain di Khartoum.

Perhimpunan yang bersaing pada Rabu di ibu negara Sudan menyusuli protes jalanan yang marah selama sebulan untuk membantah keputusan kerajaan menaikkan harga roti tiga kali ganda pada waktu negara itu menghadapi kekurangan mata wang asing yang serius dan inflasi yang melambung tinggi.

Penunjuk perasaan yang melaung “Kebebasan, Keamanan, Keadilan” dan “Re-volusi adalah pilihan rakyat” menyekat sebatang jalan penting di Omdurman, kota kembar Khartoum, tetapi dikekang dengan cepat dengan gas pemedih mata oleh polis rusuhan, kata saksi.

Video yang dipaparkan dalam media sosial menunjukkan beberapa penunjuk perasaan melontar anggota polis dengan batu. Rakaman itu tidak dapat disahkan secara bebas.

Pada Khamis, polis mengesahkan tiga penunjuk perasaan terkorban dalam protes antikerajaan di Omdurman tetapi tidak menyebut bagaimana mereka mati.

“Perhimpunan haram di-adakan di Omdurman dan polis meleraikannya dengan gas pemedih mata,” jurucakap polis Hashim Abdelrahim menyebut dalam satu kenya-taan.

“Polis kemudian menerima laporan bahawa tiga penunjuk perasaan telah maut dan beberapa lagi cedera. Kami kini sedang menyiasat.”

Lewat Rabu lepas seorang doktor berkata enam penunjuk perasaan sedang menerima rawatan di hospital utama Omdurman bagi luka-luka tembakan.

“Saya sendiri memberi ubat kepada enam orang yang cedera akibat terkena peluru,” katanya tanpa memberi butiran terperinci.

Ribuan penyokong kerajaan berhimpun di rapat umum saingan pada Rabu di sebuah tapak yang luas dan besar di ibu negara untuk memberi semangat kepada Bashir, yang menurut penganalisis berdepan dengan cabaran paling serius kepada rejimnya sejak beliau memegang kuasa dalam kudeta pada 1989.

Parti Umma Nasional dari pihak pembangkang menggesa doktor membantu mereka yang cedera, selain menyatakan ada peserta rapat umum anti-Bashir terkena peluru.

Sekumpulan doktor di hospital umum Omdurman berkata polis melepaskan gas pemedih mata di kemudahan tersebut.

“Mereka melepaskan gas pemedih mata di dalam hospital dan tembakan turut berlaku di dalam hospital,” kumpulan itu menyebut dalam satu kenya-taan tanpa menyatakan siapa yang melepaskan tembakan.

Pihak berkuasa Sudan tidak mengulas mengenai pertelingkahan itu tetapi Bashir dan lain-lain mengaitkan keganasan di tunjuk perasaan selama sebulan dengan “samseng” dan “perancang konspirasi” tanpa menamakan mereka.

Pihak berkuasa setakat ini mengesahkan sekurang-kurangnya 22 kematian, termasuk dua kakitangan ke-selamatan, sejak demonstrasi meletus pada 19 Disember lalu tetapi Human Rights Watch menganggarkan bilangan kematian sebanyak 40, termasuk kanak-kanak.

Dalam protes awal, yang bermula pada Disember lalu di bandar dan perkampungan sebelum ia menular ke Khartoum, beberapa bangunan milik Parti Kongres Nasional pimpinan Bashir yang meme-rintah negara telah dibakar.

Protes antikerajaan pada Rabu berlaku sejurus selepas ribuan orang menari dan menyorak Bashir di rapat umum yang diadakan di Pekarangan Hijau di ibu negara sementara anggota polis, askar dan ejen keselamatan menjaga keselamatan premis.

Lelaki, wanita dan kanak-kanak yang membawa panji pro-Bashir tiba dengan bas dari awal pagi, hampir memenuhi tapak tersebut.

“Perhimpunan ini memberi mesej kepada mereka yang menyangka Sudan akan menjadi seperti negara lain yang sudah musnah,” kata Bashir kepada hadirin. “Kita akan menghalang sesiapa yang memusnahkan harta benda kita.”

Orang ramai yang melaung “Allahu akbar” (Allah Maha Besar) dan “Ya, ya, Bashir, kami akan mengikuti anda” di rapat umum itu, di mana presiden diiringi isterinya dan sekumpulan menteri.

“Mereka yang cuba memus-nahkan Sudan meletakkan syarat ke atas kita untuk menyelesaikan masalah kita. Saya memberitahu mereka bahawa maruah kita adalah lebih daripada harga dolar,” kata Bashir yang dipercayai mengkritik Washington, yang mengenakan sekatan daga-ngan ke atas Khartoum pada 1997.

Embargo itu ditarik balik pada Oktober 2017 tetapi pegawai Sudan termasuk Bashir terus menyalahkan Washington bagi masalah ekonomi di negara itu.

Lebih 800 penunjuk pera-saan, ketua pembangkang, aktivis dan wartawan sudah ditangkap sejak pergolakan bermula, kata pegawai.

Pada Rabu, Sudan menyelar Britain, Kanada, Norway dan Amerika Syarikat bagi satu kenyataan bersama untuk menyuarakan kebimbangan dengan situasi di negara itu.

Empat negara itu telah menggesa Khartoum untuk menyiasat kematian penunjuk perasaan, dan memberi amaran bahawa tindakan Khartoum akan “memberi impak” kepada hubungannya dengan kerajaan mereka.

“Kementerian hal-ehwal luar menolak dan mengecam kenyataan yang berat sebelah ini dan jauh daripada realiti,” kata kementerian Sudan itu.

“Sudan komited kepada kebebasan ekspresi dan demonstrasi yang aman.” — AFP

Advertisement