Anda di sini

The Citizens cipta kemenangan terbesar buat Guardiola

Advertisement
 Jesusu (dua kanan) melepaskan rembatan melepasi pemain pertahanan Burton untuk menjaringkan gol ketig City  pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris di Stadium Etihad, Manchester Rabu lepas. — Gambar Reuters
BERPESTA GOL: Jesusu (dua kanan) melepaskan rembatan melepasi pemain pertahanan Burton untuk menjaringkan gol ketig City pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris di Stadium Etihad, Manchester Rabu lepas. — Gambar Reuters

MANCHESTER, England: Juara bertahan, Manchester City, boleh mula membuat persediaan untuk final Piala Liga Inggeris di Wembley akhir bulan hadapan selepas Gabriel Jesus menjaringkan empat gol ketika membelasah Burton Albion 9-0 pada perlawanan separuh akhir pertama Rabu lepas.

Kevin de Bruyne, Oleksandr Zinchenko, Phil Foden, Kyle Walker dan Riyad Mahrez juga menjaringkan gol ke atas kelab Liga Satu bimbingan Nigel Clough ketika City memastikan perlawanan kedua di Stadium Pirelli pada 23 Januari depan sebagai pelengkap jadual.

“Sememangnya kami sudah ke final. Kami perlu bermain perlawanan kedua dan kami tetap melihat ia perlawanan serius. Saya berasa gembira untuk melangkah ke final sekali lagi,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

“Ia bukan mudah untuk bermain perlawanan seperti ini. Kami bercakap sebelum perlawanan untuk melihat perlawanan ini dengan serius dan kami juga bermula dengan baik sekali.”

Selepas membelasah Rotherham 7-0 dalam aksi Piala FA Ahad lepas walaupun menurunkan skuad simpanan, Guardiola sekali lagi dapat merehatkan beberapa pemain utama tetapi tetap menurunkan skuad terkuat dengan De Bruyne meneruskan program kepulangan dari kecederaan.

Dan De Bruyne memulakan pesta gol apabila membuka jaringan seawal minit kelima dari umpanan David Silva.

Clough mengakui sebelum perlawanan di mana ia memerlukan satu “keajaiban” untuk Burton menumbangkan juara Liga Perdana Inggeris dalam dua perlawanan.

“Kami tidak menjangkakan apa-apa yang banyak dengan jurang di antara kedua-dua pasukan, kami bimbang ia mungkin lebih teruk dari ini,” kata Clough, pemenang dua kali Piala Liga ketika bermain di bawah bimbingan ayahnya, Brian Clough di Nottingham Forest.

“Kami sudah mencipta sejarah dengan melangkah ke separuh akhir satu pertandingan piala. Sebaik sahaja kami melihat tiga pasukan lain (di separuh akhir), ia sentiasa menjadi masalah untuk kami.”

Dan ia telah terbukti, tetapi Burton terlepas peluang keemasan untuk mengikat kedudukan apabila rembatan Marcus Harness dari umpanan Lucas Akin tersasar walaupun tidak dikawal dalam kotak penalti.

City bagaimanapun mengambil masa 30 minit untuk menambah jaringan tetapi berlarutan tiga gol dalam tempoh tujuh minit untuk menamatkan permainan sebelum rehat.

Jesus menjaringkan gol pertama peribadi dari jarak dekat selepas penjaga gol Bradley Collins menafikan cubaan Leroy Sane sebelum Jesus menambah gol kedua peribadi dari umpanan Silva.

“Pemain seperti saya mahu bermain dengan kerap, mahu membantu pasukan dan kami memasuki padang untuk menang,” kata Jesus.

Zinchenko menjaringkan gol keempat untuk menamatkan saingan sebelum rehat.

Pasukan lain mungkin mengurangkan rentak atau mula menukar pemain dalam separuh masa kedua tetapi dengan saingan sengit untuk kesebelasan utama, pemain City mengekalkan rentak untuk mencipta kemenangan terbesar buat Guardiola sepanjang menjadi pengurus kelab.

Jesus melengkapkan hatrik kedua beliau musim ini sebelum De Bruyne digantikan dengan Foden, yang menjaringkan gol keenam empat minit selepas dimasukkan.

Jesus menjaringkan gol keempat dari umpanan Sane sebelum Walker dan Mahrez melengkapkan jaringan untuk kemenangan bergaya. — AFP

Advertisement