Anda di sini

Sindiket tipu kad pekerja warga asing tumpas

Advertisement
FADIL menunjukkan kad pekerja palsu yang dijalankan oleh syarikat berkenaan.
FADIL menunjukkan kad pekerja palsu yang dijalankan oleh syarikat berkenaan.

TAWAU: Polis menahan sembilan  kakitangan sebuah syarikat swasta di sini yang dipercayai mendalangi kegiatan sindiket memproses kad pekerja untuk warga asing tanpa kebenaran.

Sehingga kini, seramai 20 mangsa tampil membuat laporan polis berkaitan operasi syarikat yang beroperasi di Jalan Dunlop, di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus, berkata daripada sembilan yang ditahan, empat adalah lelaki dan lima  wanita berumur antara 20 hingga 65 tahun terdiri daripada pengurus syarikat, kerani serta ejen syarikat berkenaan.

Katanya, modus operandi syarikat adalah pemohon hanya perlu mengisi borang dan membayar upah antara  RM800 hingga RM1,200 kepada syarikat untuk membuat kad pekerja terbabit dan kononnya pemohon diberi jaminan tidak akan ditangkap polis.

"Kad pekerja itu juga kononnya menggantikan permit pekerjaan Jabatan Imigresen untuk mendapatkan  pekerjaan di mana-mana syarikat atau kilang yang beroperasi di Sabah," katanya.

Dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat, beliau berkata polis menerima laporan mengenai syarikat yang menjalankan operasi mendaftarkan warga asing atau individu yang tidak mempunyai dokumen untuk didaftarkan di bawah syarikat berkenaan bagi mendapatkan kad pekerja.

"Syarikat yang telah beroperasi lebih dua bulan itu mengenakan bayaran RM800 hingga RM1,200 serta memberi jaminan kad perkerja berkenaan boleh diguna untuk mendapatkan pekerjaan dan tidak akan ditangkap oleh pihak berkuasa," katanya.

Fadil berkata, siasatan awal mendapati syarikat berkenaan tidak pernah dilantik oleh mana-mana kerajaan persekutuan atau negeri dan melalui risikan mendapati tindakan syarikat berkenaan cuba memperdayakan orang awam.

Berikutan itu, Jabatan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Tawau membuat tangkapan terhadap sembilan orang kakitangan syarikat terbabit.

Menurutnya, polis turut merampas telefon bimbit, Kad ATM, dokumen profil syarikat, dokumen sijil maklumat data warga asing, sebuah komputer, dokumen rekod profil syarikat, rekod kakitangan, dokumen wakil syarikat, dokumen pendaftar warga asing, dokumen pendaftar kanak-kanak, dokumen senarai penerima kad, 23 keping kad yang telah siap dan wang tunai RM2,910.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara minima 1 tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda.

Fadil menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan.

"Dan sekiranya ada syarikat yang menawarkan penyediaan kad pekerjam, segera membuat semakan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan untuk memastikan kesahihan.

  • oleh
  • Advertisement