Anda di sini

Sabah tidak menaikkan tarif air: Shafie

Advertisement

KOTA BELUD: Sabah tidak akan menaikkan tarif air, sebaliknya tumpuan diberikan untuk memastikan lebih banyak kampung menerima bekalan air terawat.

Justeru, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beberapa tindakan telah diambil termasuk melakukan penstrukturan di Jabatan Air Negeri Sabah.

“Jabatan ini memberi keutamaan untuk mentadbir urus bekalan air terawat. Tiada gunanya menaikkan tarif air jika masih banyak lagi kampung tidak menerima bekalan air terawat.

Penting memastikan usaha ini dapat kita lakukan. Saya yakin hanya menerusi pengurusan baik termasuk mengelak ketirisan dan mempastikan supaya masalah menyebabkan kehilangan sumber dapat diatasi,” katanya kepada pemberita selepas hadir di sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2019 Dewan Undangan Negeri Kadamaian di Kampung Taginambur dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan beberapa negeri menaikkan tarif air.

Mohd Shafie berkata penstrukturan dan tadbir urus baik di Jabatan Air Negeri Sabah itu telah meningkatkan hasil mata pendapatan jabatan berkenaan.

Katanya kerajaan negeri juga mahu memastikan bekalan air terawat di negeri ini mencukupi dengan meningkatkan kemudahan di loji air bagi memastikan bekalan air dapat disambungkan ke kampung yang belum menerima kemudahan itu.

Mengenai penyelenggaran jalan raya di negeri ini, Mohd Shafie berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri meneliti kerja penyelenggaraan jalan raya yang selalu mengalami kerosakan.

Katanya masalah ini berlarutan dan kerosakan jalan raya ini turut menjadi punca kepada kemalangan jalan raya.

“Landasan dan peraturan dari segi perundangan digunakan untuk memastikan jalan raya yang berlubang dan ditampal bertahan lama, bukannya rosak semula dalam tempoh sebulan hingga tiga bulan,” katanya.

Menurutnya kerajaan negeri juga melihat jika kerja penyelenggaraan jalan raya dapat dilakukan sendiri oleh JKR berbanding pada masa sekarang dilakukan oleh syarikat.

“Kita sedar kapasiti JKR terbatas sebab itu kita minta JKR membuat penelitian agar penyelenggaraan jalan raya ini dapat ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan membelanjakan beratus juta ringgit untuk kerja penyelenggaraan jalan raya di negeri ini. — Bernama

Advertisement