Anda di sini

PPM Sabah rekod lebih RM18 juta nilai rampasan tahun lepas

Advertisement
PAJERI bertekad untuk meneruskan pencapaian cemerlang PPM Sabah pada 2019.
PAJERI bertekad untuk meneruskan pencapaian cemerlang PPM Sabah pada 2019.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merekodkan sebanyak 1,439 kes tangkapan dan lebih RM18 juta nilai rampasan sepanjang tempoh 2018 melibatkan pelbagai jenis kesalahan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kejayaan itu direkodkan menerusi Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/ 63, Akta Perikanan 1985, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

“Begitu juga dengan undang-undang lain termasuk berkaitan maritim,” katanya, ketika sidang media selepas berucap merasmikan majlis perhimpunan bulanan PPM Wilayah 4 Sabah 2019 yang pertama di Markas Operasi PPM Semporna pada Jumaat.

Pajeri percaya kejayaan itu hasil penerapan slogan 'tiada hari tanpa keberhasilan' yang ditetapkan oleh Komander PPM Bukit Aman dan konsep serupa akan diteruskan lagi pada tahun ini.

Khususnya, dalam usaha memerangi jenayah rentas sempadan termasuk bom ikan dan penyeludupan rokok bersama elemen agensi penguatkuasa yang lain untuk memastikan Sabah sentiasa sejahtera.

"Perhimpunan pertama yang diadakan hari ini untuk tahun 2019 juga memberikan suntikan semangat kepada anggota kita dalam pelbagai peringkat Sub Insp (SI), Sjn Mejar (SM), Sarjan dan Koperal menerusi penghargaan pucuk pimpinan PPM.

"Jumlah anugerah khidmat cemerlang PPM Sabah yang diberikan kepada anggota kita pada kali ini juga adalah yang terbesar, iaitu melibatkan seramai 55 orang berbanding hanya 15 orang kebiasaannya," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada tahun ini PPM Sabah tidak lagi menggunakan pendekatan defensif tetapi lebih kepada ofensif dalam memerangi jenayah rentas sempadan termasuk berkaitan ancaman penculikan dan tebusan (KFR) dan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG).

Menurutnya, PPM Sabah juga akan mengatur gerak pasukan dan penempatan aset-asetnya di negeri ini termasuk membantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menghadapi isu-isu di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

  • oleh
  • Advertisement