Anda di sini

Perlu penelitian mendalam sebelum swastakan KILC

Advertisement
SHAFIE APDAL
SHAFIE APDAL

KENINGAU: Kerajaan negeri perlu meneliti secara mendalam usaha yang boleh dijalankan sebelum memutuskan untuk menswastakan Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, pendekatan yang betul perlu diambil dalam memanfaatkan industri yang dibangunkan kerajaan.

Katanya, langkah berkenaan bukan sahaja untuk memberi manfaat kepada pengusaha ladang ternakan malah turut membawa kebaikan kepada rakyat.

"Boleh kalau kita serahkan KILC kepada pihak swasta, masalahnya macamana langkah yang diambil itu boleh bantu golongan penternak.

"Kita mesti bantu perternak dahulu dan cari jalan untuk kerajaan mainkan peranan dalam membantu para pengusaha ternakan.

"Saya tahu kerajaan tidak harus berniaga, namun ada sektor yang kita perlu inisiatifkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja ke Keningau di sini pada Jumaat.

Shafie berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kerajaan tidak boleh menarik seberapa ramai pelabur untuk melaburkan wang kerana ia berisiko.

"Tapi kerajaan perlu ambil peranan supaya kita boleh memberi tenaga kepada sistem sedia ada dengan pengurusan yang betul.

"Kita boleh bekerjasama dengan pihak swasta dan mampu mencapai keuntungan asalkan ada pengurusan yang betul dan hubungan dengan pasaran," jelasnya.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar KILC memperluaskan lagi potensi dengan mempelbagaikan sumber sedia ada ke dalam pasaran.

Menurutnya, hasil yang dijana bukan sahaja meningkatkan jumlah produktiviti tetapi turut membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada masyarakat setempat.

Pihaknya percaya, Sabah memiliki potensi besar untuk membangunkan pasaran KILC dalam membekalkan produk tenusu yang lebih luas.

Dalam pada itu, Shafie turut mengadakan lawatan ke bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Tuarid Taud dekat sini yang dibina menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Bagaimanapun katanya, pembinaan bangunan IBS itu mengambil kos yang agak tinggi sehingga RM3.5 juta.

"Kalau kita guna untuk produk tempatan dan disiapkan secara manual dengan konsep pembinaan menggunakan simen dan bahan lain ia lebih murah.

"Di Sabah ini banyak sekolah daif yang memerlukan perubahan dan masih banyak sekolah yang kekurangan kemudahan seperti bilik darjah, makmal dan bilik guru," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sabah juga mempunyai kemampuan dalam mengurus tadbir pembinaan sekolah-sekolah dengan lebih cepat.

  • oleh
  • Advertisement