Anda di sini

Pengurus syarikat nafi sembilan pertuduhan rasuah

Advertisement
 Mustafa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap sembilan pertuduhan bersubahat dengan abangnya di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjadi pembekal barangan bagi universiti berkenaan bernilai lebih RM160,000. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Mustafa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap sembilan pertuduhan bersubahat dengan abangnya di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjadi pembekal barangan bagi universiti berkenaan bernilai lebih RM160,000. — Gambar Bernama

BUTTERWORTH: Seorang pengurus syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap sembilan pertuduhan bersubahat dengan abangnya, seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjadi pembekal barangan bagi universiti berkenaan bernilai lebih RM160,000.

Mustafa Kamal Mohamed, 48, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Bagi tujuh pertuduhan dihadapinya, dia didakwa bersubahat dengan abangnya, Badaruddin Mohamed, 53, yang menggunakan jawatannya sebagai Pengarah Pejabat Komunikasi Strategik USM, untuk meluluskan syarikat milik tertuduh sebagai pembekal barangan dan cenderahati yang kesemuanya bernilai RM153,793 kepada pejabat berkenaan antara 22 Sept 2011 dan 23 Nov 2012.

Dalam dua lagi pertuduhan, dia didakwa bersubahat dengan abangnya yang juga Ketua Sustainable Tourism Research Cluster (STRC) USM untuk meluluskan syarikat miliknya sebagai pembekal bagi 30 unit ‘souvenirs glass’ bernilai RM3,450 dan biometrik pejabat bernilai RM2,920 kepada STRC di antara 5 Sept 2011 dan 14 Mei 2012.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Mustafa Kamal didakwa mengikut Subseksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen 24(1) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 dengan tiga orang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 20 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azlan Basri dan tertuduh diwakili peguam Muhammad Ariff Shaharuddin. — Bernama

Advertisement