Anda di sini

Menentang Spurs di Wembley, ia ujian sebenar, kata Solskjaer

Advertisement
SOLSKJAER
SOLSKJAER

MANCHESTER, England: Pengurus sementara Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer akan berdepan tugas paling sukar sejak menggantikan Jose Mourinho apabila pasukannya menentang orang yang dipercayai bakal mengisi tempatnya – Mauricio Pochettino di Tottenham Hotspur.

Spurs, yang berada di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, menanti kunjungan United, yang ketinggalan 10 mata di belakang pada perlawanan di Stadium Wembley Ahad ini dalam apa yang merupakan tugas paling sukar untuk Solskjaer setakat musim singkat beliau di kelab.

Sejak Mourinho dipecat pada 18 Disember, Solskjaer, yang diberi tugas membimbing kelab sehingga akhir musim, membimbing United memenangi empat perlawanan liga berturut-turut dan juga perlawanan pusingan ketiga Piala FA Inggeris ketika menentang Reading.

Jadual perlawanan kelihatan ‘mudah’ untuk Solskjaer di mana United menentang Cardiff City, Newcastle United, Huddersfield Town dan Bournemouth.

“Menentang Spurs di Wembley, ia ujian sebenar,” kata Solskjaer minggu ini.

“Kami tidak sabar untuk perlawanan ini. Ia akan memberikan lebih banyak rujukan di mana kedudukan sebenar kami menentang pasukan di kelompok teratas.”

Sebaik sahaja Mourinho dipecat, spekulasi media mula tertumpu kepada Pochettino sebagai calon pilihan menggantikan Mourinho secara tetap di Old Trafford pada musim hadapan.

Ketika United tidak membuat pengumuman terbuka tentang minat untuk mendapatkan pengurus dari Argentina itu, yang juga enggan mengulas apa yang beliau panggil “khabar angin”, ada cadangan berterusan di mana pengurus berusia 46 tahun itu adalah sasaran utama kelab.

Solskjaer juga tidak dapat mengelak untuk meluahkan keinginan untuk mengekalkan tugas secara tetap tetapi peluang beliau pasti meningkat dengan mendadak jika United menewaskan Pochettino di Wembley.
Spurs menewaskan United 3-0 di Old Trafford pada perlawanan awal musim dan sudah menang setiap tiga perlawanan terakhir di tempat sendiri menentang United.

Pada perlawanan lain hujung minggu ini, pendahulu liga, Liverpool akan bertandang ke Brighton pada hari Sabtu dengan harapan untuk kembali ke landasan kemenangan selepas tewas kepada Manchester City untuk kekalahan pertama mereka dalam liga musim ini.

Liverpool bagaimanapun masih di tangga teratas liga dengan kelebihan empat mata berbanding City. — Reuters

Advertisement