Anda di sini

Maut hidu gas beracun

Advertisement
 Salah seorang mangsa yang masih sedar  menerima rawatan awal di dalam ambulans.
TERSELAMAT: Salah seorang mangsa yang masih sedar menerima rawatan awal di dalam ambulans.

SIBU: Tiga pekerja maut manakala empat rakan sekerja terselamat selepas mereka terperangkap dan disyaki terhidu gas beracun dalam kapal di Jalan Rantau Panjang, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, insiden itu berlaku apabila seorang pekerja warga Bangladesh terjatuh ke dalam tangki kapal disyaki terhidu gas beracun.

"Beberapa rakan yang ternampak kejadian itu cuba membantu mangsa dan turut terjatuh serta terhidu gas disyaki beracun," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba dan mereka yang masih bernyawa dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Hospital Sibu manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Sibu.

"Tiada unsur jenayah dikaitkan dengan kejadian ini," katanya.

 Ruang masuk ke bahagian tangki kapal tempat kesemua mangsa terperangkap.
GAS BERACUN: Ruang masuk ke bahagian tangki kapal tempat kesemua mangsa terperangkap.

Beliau menambah, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, seramai 11 anggota bomba diketuai Joseph Dea terlibat dalam operasi menyelamat dan Ketua Balai BPP Sungai Merah selaku Komander Operasi Alimat Sam turut berada di lokasi kejadian.

Bomba menggunakan alat bantuan pernafasan dan tali untuk masuk ke dalam tangki kapal sebelum menaikkan kesemua mangsa yang terperangkap.

Selepas kesemua mangsa berjaya dikeluarkan, empat daripada mangsa didapati pengsan manakala seorang lagi berada dalam keadaan sedar telah dihantar menggunakan ambulans dan EMRS Bomba ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Dua mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Syahrir Ramadhan dan Irmansyah kedua-duanya warganegara Indonesia, manakala Rone Matbbor meninggal dunia di Hospital Sibu.

Pihak hospital kemudian menyerahkan dua mayat tersebut kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa yang terselamat ialah warga Bangladesh Maznu dan Aktar serta warga Indonesia Tamsil dan Mohamad Yakub.

Operasi tamat jam 7.40 malam dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak bomba.

  • oleh
  • Advertisement