Anda di sini

Maher Zain bakal lancar dua single baharu

Advertisement
 Maher Zain (kanan) pada sidang media mengenai konsert ‘Maher Zain Malaysia Tours 2019’. — Gambar Bernama
KONSERT JELAJAH: Maher Zain (kanan) pada sidang media mengenai konsert ‘Maher Zain Malaysia Tours 2019’. — Gambar Bernama

PENYANYI dan penulis lagu Islamik, Maher Zain akan mengeluarkan dua single tahun ini sebagai persediaan pelancaran sebuah album pada 2020.

“Kami sedang mengusahakannya (album baharu)… harapnya dapat dilancarkan tahun depan,” kata artis berketurunan Lubnan-Sweden itu pada sidang media ‘Maher Zain Malaysia Tour 2019’ di Kuala Lumpur pada Rabu lepas.

Album terakhir artis yang pernah memenangi anugerah itu – ‘One’ – dikeluarkan pada 2016.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan CIMB Mohamed Rafe Mohamed Haneef.

Penyanyi itu akan memulakan jelajahnya di Malaysia dengan persembahan di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 9 Mac, diikuti Stadium Pasir Gudang, Johor (15 Mac), SPICE Arena, Pulau Pinang (16 Mac) dan Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Mac.

Mengenai konsert itu, artis R&B tersebut mengesahkan beliau akan bekerjasama dengan penyanyi tempatan namun enggan mendedahkan siapa yang bakal berkongsi pentas dengannya.

Maher berharap peminatnya akan menjadikan konsert jelajah itu satu kejayaan yang tidak dilupakan.

Dilaporkan 35 peratus tiket konsert sudah terjual atau ditempah setakat ini.

Sementara itu, Mohamed Rafe yakin konsert jelajah tersebut akan mendapat sambutan hangat memandangkan Maher mempunyai ramai peminat di negara ini.

“Saya percaya Maher bukan sahaja akan menghiburkan peminatnya tetapi turut memberikan persembahan bertaraf dunia,” katanya.     

Konsert jelajah itu dibawa oleh CIMB Islamic Bank Berhad dan dianjurkan oleh New Catalysts Resources and MyEvents International dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta Sinar Harian sebagai rakan kongsi media rasmi.

Tiket berharga antara RM78 dan RM1,000 boleh dibeli menerusi www.tixmalaysia.com.

— Bernama

Advertisement